My Add

Saturday 27 July 2013

Graduan Permata Pintar terima biasiswa Petronas

 * ROSMAH Mansor bersama Raiha Azni Abd. Rahman (depan, tiga dari kanan beramah mesra dengan para pelajar yang menerima Anugerah Biasiswa Petronas di Pusat Permata Pintar Negara di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor, semalam. - UTUSAN/SYEFRY MONIZ
KUALA LUMPUR, JUMAAT, 26 Julai, 2013: Seramai 16 pelajar Pusat Permata Pintar Negara (PPPN) lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menerima anugerah biasiswa tajaan Petronas bagi melanjutkan pelajaran ke beberapa universiti terkemuka di luar negara.

Mereka adalah kumpulan pertama daripada PPPN yang mendapat tajaan itu bagi menyambung pelajaran dalam pelbagai bidang termasuk kejuruteraan kimia, petroleum, geosains petroleum, ekonomi dan perubatan.

Biasiswa yang dianugerahkan di bawah Program Penajaan Pendidikan Petronas (PESP) itu disampaikan oleh isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor selaku penaung Program Permata pada majlis yang diadakan di pusat itu di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dekat sini.

Yang turut hadir dalam majlis itu ialah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Penyelidikan & Inovasi UKM, Prof. Datuk Dr. Rahmah Mohamed; Naib Presiden Bahagian Pengurusan Sumber Manusia Petronas, Raiha Azni Abd. Rahman; Pengarah PPPN, Prof. Dr. Noriah Mohd. Ishak dan Pengurus Besar Kanan Jabatan Pengurusan Modal Insan Bahagian Pengurusan Sumber Tenaga Manusia Petronas, Ungku Haslina Ungku Mohd. Tahir.

Berucap pada majlis itu, Rosmah berkata, Petronas telah memperlihatkan komitmen mereka untuk menjadi warga korporat dan rakan kongsi negara yang bertanggungjawab.

"Pengiktirafan kepada Petronas perlu diberikan atas kerjasama mereka dengan Permata Pintar melalui peruntukan penajaan pendidikan untuk pelajar kita terutama sekali di bawah kategori pembangunan negara.

"Ini pertama kali Petronas berbuat demikian dan sememangnya satu langkah bijak yang wajar dicontohi oleh organisasi lain dalam usaha menyokong program Permata Pintar Negara pada masa depan," katanya.

Sementara itu, Raiha berkata, PESP adalah sebahagian daripada komitmen berterusan Petronas dalam usaha membangunkan modal insan negara dengan menyediakan peluang pendidikan kepada pelajar yang layak bagi merealisasikan potensi akademik mereka.

"Seperti yang diketahui umum, Permata Pintar Negara hanya menerima pelajar terbaik, kesemua 16 pelajar tajaan kami telah dikenal pasti melalui proses saringan ketat dan menyeluruh.

"Mereka merupakan kalangan 43 daripada 500,000 orang calon memohon yang telah disenarai pendek untuk menjalani ujian, temuduga serta penilaian teknikal dan kami juga mengambil kira latar belakang sosioekonomi keluarga bagi memastikan hanya yang layak menerima PESP," katanya.

Tahun ini, Petronas memperuntukkan sebanyak 400 biasiswa di bawah PESP dan sejak dimulakan pada 1975, program tajaan dengan nilai keseluruhan sebanyak RM2.7 bilion itu telah memberi manfaat kepada kira-kira 20,600 pelajar dari seluruh negara. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment