My Add

Saturday 13 July 2013

GST boleh kurangkan cukai pendapatan?

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 12 Julai, 2013: Perlaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) akan membolehkan kerajaan mengurangkan cukai korporat dan pendapatan untuk menggalakkan pelaburan, kata seorang pakar ekonomi.

Pakar ekonomi itu, yang enggan untuk dinamakan, berkata, GST akan membantu negara mengekalkan bakat untuk mendorong pertumbuhan ekonomi dalam persekitaran global yang berdaya saing.

Beliau berkata, pertumbuhan ekonomi negara akan membantu mencipta pekerjaan nilai tambah dan meningkatkan pendapatan.

"Bagaimanapun, sebagai rakyat, kita perlu memperbaiki diri kita untuk mendapat manfaat daripadanya," katanya kepada Bernama hari ini.

Sungguhpun kerajaan belum menentukan kadarnya ketika Rang Undang-Undang GST dibentangkan, ia telah membayangkan kadar tetap akan bermula daripada empat peratus, katanya.

"Pada kadar ini, GST adalah lebih rendah daripada cukai jualan dan perkhidmatan pada masing-masing 10 peratus dan enam peratus," katanya.

Syarikat dengan perolehan tidak melebihi RM500,000 setahun juga mungkin dikecualikan daripada mengenakan GST, katanya.

"Ini bermakna, kita akan membayar harga yang lebih rendah untuk beberapa barangan dan perkhidmatan jika perniagaan itu menyalurkan penjimatan tersebut kepada rakyat.

"Dalam dunia sebenar, bagaimanapun, ini tidak selalunya terjadi, memandangkan beberapa perniagaan akan mengambil kesempatan dan menyimpan penjimatan itu sebagai keuntungannya," kata beliau.

Pakar ekonomi itu berkata, dengan GST, kerajaan akan mengumpulkan lebih banyak perolehan dan pengelakan cukai boleh dikurangkan berikutan mekanisme cukai itu yang boleh mengekang pengelakan.

Berdasarkan kepada pengalaman Singapura, beliau berkata, lebih 80 peratus daripada GST yang dikumpulkan adalah daripada golongan kaya dan pelancong kerana nilai penggunaan pada umumnya lebih tinggi.

Sementara itu, RHB Research berkata, GST akan membantu kerajaan melaksanakan struktur cukai yang lebih luas.

"Pada masa ini, asas cukai kerajaan adalah sempit, dengan hanya 11 peratus daripada syarikat berdaftar dan 14.8 peratus pekerja membayar cukai," katanya dalam satu nota. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment