My Add

Wednesday 17 July 2013

Gudang pakaian Raya di Sungai Petani terbakar

Oleh OPAT RATTANACHOT

SUNGAI PETANI, RABU, 17 Julai, 2013: Seorang pemborong kasut dan pakaian kerugian lebih RM1 juta selepas gudang miliknya di Jalan Ayam Didik, Taman Perindustrian Ringan Ria Jaya di sini terbakar awal pagi ini.

Kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu turut memusnahkan ribuan stok kasut dan pakaian yang sebahagian besar untuk pasaran menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Bagaimanapun tindakan pantas anggota bomba dan penyelamat berjaya menyelamatkan sekurang-kurangnya tiga lagi kilang berhampiran gudang berkenaan daripada turut musnah.

Pemilik gudang itu, Ooi Lean Bee, 60, berkata, dia yang tinggal di Alor Star bergegas ke premisnya selepas dimaklumkan seorang pekerja gudang.

"Sebaik sahaja saya tiba, hampir keseluruhan gudang itu musnah. Sebahagian besar barangan yang dipesan pelanggan untuk Hari Raya Aidilfitri turut musnah," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Lean Bee berkata, dia bagaimanapun bersyukur kerana pekerjanya tidak mengalami kecederaan dalam kejadian itu.

Sementara itu, Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Sungai Petani, Penguasa Kanan Bomba Nor Ariffin Kamari berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang ramai memaklumkan kejadian itu pada pukul 4.26 pagi.

Katanya, sebanyak 24 anggota bersama tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Petani dan sebuah dari Balai Tikam Batu bergegas ke tempat kejadian.

"Pihak kami mengambil masa setengah jam untuk mengawal api. Kebakaran agak sukar dikawal berikutan bahan yang terdapat dalam kilang itu seperti getah dan plastik mudah terbakar.

"Api berjaya dikawal daripada merebak ke premis lain pada pukul 5.09 pagi," katanya sambil memberitahu punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. - UTUSAN ONLINE 

No comments:

Post a Comment