My Add

Tuesday 16 July 2013

Guna mana-mana akta dakwa mereka

KUALA LUMPUR, ISNIN, 15 Julai, 2013: Kerajaan digesa menggunakan mana-mana akta untuk mensabitkan kesalahan terhadap Alvin Tay Jye Yee, 25, dan pasangannya, Vivian Lee, 24, yang mempersenda bulan Ramadan dengan memuat naik gambar makanan menyentuh sensitiviti umat Islam di negara ini.

Presiden Gerakan Belia 4B, Mua'amar Ghadafi Jamal Jamaluddin berkata, hukuman tersebut wajar diambil bagi memberikan pengajaran terhadap pasangan itu serta masyarakat bahawa isu berkaitan agama tidak boleh dipermainkan.

Katanya, tindakan mereka boleh disifatkan sebagai 'menjolok sarang tebuan' kerana telah mengguris hati dan perasaan umat Islam dan sekiranya masyarakat bertindak di luar jangkaan kepada pasangan tersebut, ini merupakan hukuman ke atas perbuatan mereka.

"Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) diminta supaya segera bertindak kepada kes ini dan mengenakan tindakan tegas.

"Pasangan ini langsung tidak menghormati nilai kemanusiaan, Belia 4B memandang serius perkara tersebut dan sekiranya masyarakat menghukum mereka, jangan salahkan kerajaan tetapi diri sendiri,'' katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Sekretariat Hal Ehwal Bandar (SHEB) Perak, Shamsul Baharin Putra Ahmad Shibi meminta kerajaan supaya mewujudkan satu akta yang mampu membendung gejala hina-menghina di laman sosial.

Katanya, ini bukan pertama kali berlaku perkara sebegini dan dijangka isu seperti itu akan terjadi lagi pada masa akan hadapan, justeru, penyediaan akta yang bersesuai adalah penting untuk menjamin keharmonian dan kestabilan negara.

"Kita umat Islam sememangnya tidak dapat menerima perbuatan biadab pasangan ini dan tindakan mereka itu seperti mahu mencabar pihak berkuasa yang dilihat masih berlembut dalam menangani masalah seperti ini," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment