My Add

Tuesday 16 July 2013

Guru cemerlang hasilkan buku pelajari bahasa Inggeris

 * KAMARLZAMAN Habibur Rahman menunjukkan buku mempelajari bahasa Inggeris bertajuk English For Me-The Easy Way to Learn English di Telok Kemang, Negeri Sembilan, baru-baru ini.
TELOK KEMANG, ISNIN, 15 Julai, 2013: Pengalaman mengajar subjek Bahasa Inggeris di sekolah luar bandar mendorong dua guru di sini menghasilkan buku mempelajari bahasa Inggeris bertajuk English For Me-The Easy Way to Learn English.

Guru Cemerlang Bahasa Inggeris, Kamarulazman Habibur Rahman dan isterinya, Diana Ahmad Busra berpendapat, pelajar terutama di luar bandar perlu didedahkan dengan bimbingan secukupnya untuk menguasai bahasa kedua itu.

Beliau berkata, kegagalan setiap kali ke kedai buku untuk mencari sebuah buku yang menepati cita rasa dan keperluan pelajar, merupakan pendorong utama kepada mereka untuk menghasilkan buku itu.

"Saya akan menghabiskan masa agak lama untuk mencari buku yang benar-benar dapat mengatasi kelemahan pelajar di dalam subjek ini.

"Malangnya saya akan pulang hampa kerana buku seperti ini tidak terdapat di pasaran kita, kebanyakan buku bahasa Inggeris yang berada di pasaran bersifat 'pakai buang' kerana mempunyai beberapa set latihan dan setelah pelajar selesai membuat latihan tersebut, ia menjadi tidak berguna lagi," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Kamarulazman yang merupakan guru cemerlang subjek Bahasa Inggeris lelaki pertama di Negeri Sembilan berkata, untuk menghasilkan buku itu, beberapa faktor penting perlu diambil kira iaitu memastikannya bersifat kekal bagi membolehkan pelajar boleh menggunakannya dari peringkat sekolah rendah hingga ke universiti.

Jelasnya, buku itu juga mesti bersifat sebagai rujukan sepanjang masa dan menyediakan asas yang kukuh bagi pelajar untuk memulakan perjalanan ilmu dalam berbahasa Inggeris.

"Kami mahu buku ini menjadi seperti kamus yang sentiasa dirujuk oleh pelajar pada setiap masa, justeru, kami telah mengambil keputusan untuk menyenaraikan undang-undang tatabahasa serta terjemahannya di dalam bahasa Melayu," ujarnya yang memperoleh B.Ed (Hons) TESL dari University of Manchester pada 1997.

Diana yang merupakan lulusan dari Chichester University College dan kini sedang menyambung pengajian doktor falsafah di University of Manchester yakin sekiranya pelajar menguasai tatabahasa asas pada peringkat awal lagi, pasti mereka tidak mempunyai masalah untuk belajar dalam bahasa itu.

Katanya, kelemahan pelajar dapat diatasi sekiranya kaedah yang betul digunakan dan beliau mengakui sekiranya undang-undang tatabahasa itu tidak diperjelaskan, maka proses pengajaran dan pembelajaran akan menjadi rumit. - UTUSAN



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130716/dn_17/Guru-cemerlang-hasilkan-buku-pelajari-bahasa-Inggeris#ixzz2Z9jWvjRz
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment