My Add

Monday 15 July 2013

'Halal Square' sah status sajian berbuka

KUALA LUMPUR, AHAD, 14 Julai, 2013: Umat Islam yang berasa ragu-ragu terhadap status halal restoran atau hotel menawarkan sajian bufet sepanjang Ramadan ini dinasihatkan agar menyemak logo sijil halal dipamerkan di premis itu menggunakan aplikasi mobil, 'Halal Square'.

Pengarah Bahagian Hab Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Hakimah Mohd. Yusoff berkata, banyak restoran dan hotel mengambil kesempatan menawarkan hidangan bufet kepada pelanggan bersempena bulan Ramadan ini.

Bagaimanapun katanya, terdapat segelintir pemilik premis makanan tidak bertanggungjawab menyalahgunakan logo sijil halal yang dikeluarkan oleh jabatan itu.

Untuk itu katanya, Jakim sentiasa menjalankan pemantauan dan operasi pemeriksaan untuk mengenal pasti mana-mana premis menjual makanan yang menyalahgunakan logo sijil halal.

"Operasi pemeriksaan tidak hanya tertumpu di restoran atau hotel sepanjang Ramadan tetapi semua premis menjual makanan yang ada menggunakan logo sijil halal secara berkala.

"Namun bagi memudahkan orang ramai menentukan status halal makanan dihidangkan di restoran atau hotel, mereka boleh membuat pemeriksaan sendiri menerusi aplikasi mobil, 'Halal Square'," katanya.

Menurut Hakimah, pemeriksaan melalui aplikasi mobil itu dapat mengelakkan umat Islam diperdayakan oleh pemilik restoran atau hotel yang menyalahgunakan logo sijil halal Jakim.

Beliau berkata, orang ramai juga dinasihatkan agar memaklumkan kepada Jakim mengenai restoran dan hotel yang melakukan penipuan seperti itu bagi membolehkan pihaknya mengambil tindakan terhadap premis berkenaan.

Aplikasi mobil, 'Halal Square' yang membolehkan umat Islam di negara ini mendapatkan maklumat mengenai premis makanan yang menyediakan perkhidmatan sajian halal termasuk di luar negara dilancarkan penggunaannya oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom pada 27 Mac lalu.

Aplikasi pintar yang menggunakan teknologi 'Near Field Communication' (NFC) itu membolehkan pengguna termasuk pelancong terutama dari Asia Barat mengenal pasti premis makanan yang disahkan halal oleh Jakim dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) dalam tempoh masa yang singkat.

Pengguna boleh menerima data status halal sesebuah premis dengan hanya menyentuh telefon pintar mereka pada poster logo halal.

'Halal Square' menyediakan penjejakan lokasi-geo yang berupaya menunjukkan arah perjalanan dan jarak premis halal berdasarkan aplikasi pemetaan.

Menariknya, pengguna juga akan sentiasa dimaklumkan tentang premis lokasi halal menerusi fungsi getaran pada telefon pintar masing-masing apabila berada kira-kira 500 meter daripada premis tersebut. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment