My Add

Sunday 14 July 2013

Harga ayam di Perlis tidak menentu

KANGAR, AHAD, 14 Julai, 2013: Harga ayam bersih di beberapa lokasi di Perlis didapati tidak menentu.

Misalnya harga yang ditawarkan di Pasar Besar Kangar hari ini adalah RM8 sekilogram, lebih rendah berbanding harga ayam segar di Pasar Sehari Behor Lateh dan Pasar Tani Taman Sena yang dijual pada harga RM8.50 sekilogram.

Bagi ayam segar di Abi pula, peniaga meletakkan harga RM7.90 sekilogram manakala di Beseri ia berharga RM7.70 sekilogram.

Bagi peniaga, harga yang ditawarkan itu adalah yang terbaik untuk pelanggan kerana mereka mendapatkan bekalan borong pada harga tinggi sejak lebih seminggu lalu.

Namun bagi seorang pembeli, Narimah Saad, 42, beliau mendakwa sebelum ini beliau boleh membeli ayam kira-kira RM7 sekilogram tetapi kini harganya telah meningkat.

Sementara tinjauan di beberapa bazar Ramadan sekitar Kangar sejak awal Ramadan, mendapati para peniaga mengekalkan harga seperti ayam masak merah dan ayam masak kicap pada harga RM3 seketul.

Rogayah Salleh, 54, berkata walaupun harga ayam tidak menentu di pasaran, namun harga ayam masak yang ditawarkannya tidak berganjak. 

"Jika peniaga makanan menaikkan harga hanya disebabkan harga ayam yang tidak menentu di pasaran, sudah pasti perniagaan mereka di bazar Ramadan tidak akan bertahan lama," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment