My Add

Friday 26 July 2013

Harga keperluan Raya di Johor seperti ditetapkan

JOHOR BAHRU, JUMAAT, 26 Julai, 2013: Pengguna di negeri ini tidak perlu bimbang dengan bekalan keperluan menjelang Aidilfitri bulan depan kerana ia mencukupi dan dijual pada harga ditetapkan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Johor, Datuk Tee Siew Kiong berkata, pemeriksaan ke atas pasar, pasar raya besar serta kedai runcit di seluruh negeri akan dilakukan secara menyeluruh sama ada di bandar dan luar bandar sepanjang penguatkuasaan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan kali ini.

"Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Johor sentiasa mengambil pelbagai langkah sepanjang musim perayaan ini bagi menjamin bekalan mencukupi dan terkawal.

"Seramai 150 anggota penguatkuasa dan 102 pegawai pemantau harga juga akan memulakan pemeriksaan terhadap 20 jenis barangan kawalan yang ditetapkan mulai hari ini sehingga 11 Ogos depan," katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di Pasar Awam Larkin di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah PPDNKK Johor Ayub Abd Rahman.

Tee berkata, daripada tinjauannya hari ini, rata-rata peniaga memberikan maklum balas positif terhadap harga ditetapkan kerajaan dengan menyifatkan penetapan harga siling memudahkan urus niaga kerana pembekal tidak dapat mengambil kesempatan menaikkan harga.

Menurutnya, peniaga juga mematuhi peraturan dengan mempamerkan papan tanda merah jambu malah ada yang menjual barangan kawalan lebih rendah daripada harga yang ditetapkan.

"Ada peniaga yang menjual cili merah pada harga RM13 sekilogram berbanding RM14 sekilogram yang ditetapkan. Ini sesuatu yang amat baik dan patut dicontohi demi kepentingan pengguna," katanya.

Beliau berkata, mana-mana pihak termasuk pengeluar, pemborong atau peruncit sentiasa diingatkan supaya mematuhi Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Pengguna yang tidak berpuas hati dengan harga yang diletakkan peniaga boleh menyalurkan maklumat ke talian bebas tol 1-800-886-800, e-mel ke e-aduan@kpdnkk.gov.my atau terus membuat laporan di mana-mana PPDNKK berhampiran, katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment