My Add

Sunday 14 July 2013

Hentikan beli mercun untuk anak - Polis

KUALA LUMPUR, ahad, 14 Julai, 2013: Polis berazam mahu mengurangkan gejala bermain dan menjual mercun yang berleluasa pada setiap perayaan Aidilfitri ekoran kecederaan, terutamanya akibat bermain mercun bola.

"Kadang kala kita lihat ada ibu bapa yang membelikan mercun kepada anaknya dan saya harap perkara seperti itu tidak berlaku lagi," kata Penolong Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara (Komunikasi Korporat) Asisten Komisioner Ramli Mohamed Yusoof.

Katanya, polis akan berkerjasama dengan agensi seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia bagi menyekat penyeludupan mercun.

"Larangan bermain serta menjual mercun masih berkuat kuasa. Kami meminta kerjasama orang ramai yang tahu individu atau kedai yang menjual mercun segera membuat aduan di balai polis berdekatan," katanya kepada ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya memandang serius perkara tersebut kerana ia boleh mengakibatkan kecederaan dan sesiapa yang didapati memiliki serta menjual mercun akan dikenakan tindakan tegas.

Beliau berkata, hanya dua jenis mercun yang dibenarkan iaitu 'Happy Boom' dan 'Pop-pop' kerana kedua-duanya tidak berbahaya dan tidak mendatangkan kecederaan kepada pengguna.

Di Malaysia aktiviti bermain mercun adalah diharamkan dan ia termaktub di dalam Akta Bahan Letupan pindaan tahun 1991.

Pengharaman mercun di Malaysia adalah susulan kejadian tragedi letupan kilang mercun Bright Sparkles, Sungai Buloh pada tahun 1991 yang mengorbankan 26 orang.

Antara jenis mercun yang popular ialah mercun papan, bola, telur, roket dan ketupat dan mercun bola dianggap paling berbahaya kerana ia mengeluarkan bunyi dan impak yang kuat sehingga boleh menyebabkan kecederaan parah.

Akhbar sebelum ini melaporkan beberapa kes iaitu di Alor Setar membabitkan dua remaja menjadi mangsa awal letupan mercun musim Ramadan tahun ini apabila masing-masing cedera terkena serpihan bahan letupan buatan sendiri pada Rabu lepas.

Kes terbaru ialah di Kuala Terengganu, Terengganu semalam iaitu dua daripada tiga remaja yang berumur 12 hingga 14 tahun cedera parah akibat terkena serpihan mercun bola dan mereka adalah mangsa mercun pertama di negeri itu pada tahun ini. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment