My Add

Monday 15 July 2013

Huazong anjur Anugerah Integrasi Nasional Usman Awang

 * NG Teck Foong (tiga dari kanan) dan Dr. Chua Yee Yen (dua dari kanan) serta ahli jawatankuasa lain menunjukkan poster Anugerah Integrasi Nasional Usman Awang pada sidang media Huazong di Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR, AHAD, 14 Julai, 2013: Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia atau Huazong akan menganjurkan Anugerah Integrasi Nasional Usman Awang bagi menghargai sumbangan individu atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terhadap usaha-usaha perpaduan dan integrasi nasional.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Negara Huazong, Tan Sri Ng Teck Fong berkata, penganjuran itu bertujuan menggalakkan lebih ramai individu atau NGO menyumbang ke arah perpaduan selain memupuk semangat integrasi dalam kalangan rakyat.

Menurut beliau, Sasterawan Negara, Usman Awang diangkat bagi mengisi nama anugerah itu kerana beliau antara tokoh yang mempunyai semangat dan pandangan positif yang jelas mengenai integrasi.

"Dalam setiap karyanya, beliau menggalakkan keharmonian dan perpaduan tanpa mengira warna kulit, kaum dan agama sehinggakan beliau disanjung tinggi setiap lapisan rakyat di negara ini," katanya dalam sidang akhbar mengenai anugerah tersebut di sini hari ini.

Yang turut hadir, Presiden Huazong, Tan Sri Pheng Yin Huah, Penasihat Jawatankuasa penganjuran, Tan Kai Hee dan Setiausahanya, Dr. Chua Yee Yen.

Dalam pada itu, Yee Yen berkata, anugerah itu terbahagi kepada dua kategori iaitu Anugerah Perpaduan Cemerlang dan Anugerah Perpaduan Gemilang.

Katanya, pemenang tunggal Anugerah Perpaduan cemerlang akan menerima hadiah wang tunai berjumlah RM100,000 dan sijil sementara lima pemenang yang terpilih Anugerah Perpaduan Gemilang masing-masing akan menerima wang tunai RM10,000 beserta sijil.

"Penyertaan anugerah ini yang akan ditutup pada 27 September ini terbuka kepada setiap lapisan masyarakat tidak mengira kaum kecuali parti politik.

"Antara kriteria pemilihan adalah individu atau NGO yang banyak menganjurkan aktiviti-aktiviti melibatkan dua atau lebih kaum dan impaknya tersemai dalam kalangan rakyat di negara ini," katanya.

Borang pencalonan dan maklumat lanjut mengenai anugerah tersebut boleh didapati di laman web www.huazong.my atau dengan menghubungi sekretariat penganjuran di talian 03-22734008. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment