My Add

Sunday 14 July 2013

Hukuman pemaju gondol bukit ringan

PULAU PINANG, SABTU, 13 Julai, 2013: Denda RM30,000 yang dikenakan ke atas satu syarikat pemaju perumahan di sini oleh mahkamah kerana kesalahan menjalankan kerja tanah di puncak Bukit Relau tanpa kebenaran Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dianggap terlalu ringan berbanding kemusnahan alam sekitar yang telah dilakukannya.

Pengerusi DAP, Karpal Singh berkata, sepatutnya pengarah urusan syarikat tersebut (Tan Sri Tan Kok Ping) dihukum penjara sebagai pengajaran kepada pemaju lain supaya tidak melanggar undang-undang.

Menurutnya, kesalahan dilakukan amat serius berikutan syarikat terbabit merupakan pemaju yang berpengalaman.

"Kok Ping perlu memberi keterangan mengenai pencerobohan bukit oleh syarikatnya. Jika dia gagal memberi alasan munasabah, hukuman penjara harus dijatuhkan ke atasnya. Dia bukan kebal undang-undang," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Kelmarin, sebuah syarikat pemaju perumahan, General Accomplishment Sdn. Bhd. didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana kesalahan menjalankan kerja tanah di puncak Bukit Relau tanpa kebenaran MPPP.

Karpal sebelum ini pernah mendesak kerajaan DAP Pulau Pinang menyenaraihitamkan Kok Ping dan syarikatnya berhubung kegiatan penggondolan puncak Bukit Relau.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor memberitahu, kemusnahan yang berlaku ke atas bukit berkenaan amat serius.

"Jika bukit itu mahu pulih seperti asal mungkin memakan masa 30 hingga 40 tahun. Jika tanam anak pokok baharu pun tidak akan tumbuh dalam satu malam," ujarnya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment