My Add

Wednesday 10 July 2013

Hutang isi rumah naik 70% dalam tempoh enam tahun

LABIS, SELASA, 09 Julai, 2013 Peningkatan sehingga 70 peratus hutang isi rumah penduduk negara ini dalam tempoh enam tahun kebelakangan ini amat membimbangkan dan tidak baik bagi perkembangan ekonomi negara.

Justeru, Ketua Biro Profesional Muda MCA, Datuk Chua Tee Yong berharap perkara itu ditangani segera dengan kaedah yang terbaik.

Beliau berkata, pada 2008 hutang isi rumah penduduk negara ini berjumlah RM459 bilion dan jumlah itu melonjak menjadi RM784 bilion pada tahun ini.

"Dianggarkan kira-kira 45 peratus pendapatan penduduk negara ini digunakan untuk membayar semula hutang mereka. Apa yang membimbangkan, sekiranya berlaku kegawatan ekonomi mungkin ramai daripada mereka tidak berupaya melunaskan hutang masing-masing.

"Situasi tersebut andainya berlaku bukan sahaja mengakibatkan perkembangan ekonomi negara terjejas teruk, tetapi turut menyumbang kepada peningkatan masalah sosial dan jenayah," katanya di sini baru-baru ini.

Menurutnya, pinjaman perumahan merupakan jumlah terbesar hutang rakyat di negara ini, diikuti pembiayaan membeli kenderaan dan pinjaman peribadi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Labis berkata, langkah Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan peraturan baharu pinjaman peribadi baru-baru ini merupakan satu langkah baik, sekali gus membuktikan keprihatinan kerajaan bagi menangani masalah tersebut.

Peraturan baharu yang ditetapkan oleh BNM ialah mengehadkan tempoh bayaran balik pinjaman hartanah dalam tempoh 35 tahun berbanding sebelum ini sehingga 45 tahun manakala pinjaman peribadi dikurangkan dari 25 tahun kepada 10 tahun.

"Kerajaan sedang meneliti serta mencari jalan bagaimana untuk mengurangkan harga kereta bukan setakat menurunkan kadar cukai, tetapi menilai kembali kos pembuatan yang mempengaruhi harga jualan.

"Pihak BNM juga perlu melihat apa lagi langkah terbaik boleh dilaksanakan yang boleh menangani isu hutang isi rumah yang semakin membimbangkan sejak kebelakangan ini," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment