My Add

Friday 26 July 2013

Ibu tunggal maut dirempuh di pembahagi jalan

KOTA TINGGI, JUMAAT, 26 Julai, 2013: Seorang ibu tunggal enam anak maut selepas dirempuh kenderaan pacuan empat roda dalam kemalangan di Km 31.7 Jalan Johor Bahru-Mersing, di sini malam semalam.

Kejadian berlaku pada 11.45 malam ketika Habsah Ismail, 40, berada di pembahagi jalan berdekatan stesen minyak di Taman Sri Saujana.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supritendan Mohd. Nor Rasid berkata, mangsa dirempuh kenderaan jenis Toyota Hilux yang dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Mersing selepas pemandunya gagal mengawal kenderaan itu.

"Rempuhan itu mengakibatkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat kemudian dihantar ke Hospital Kota Tinggi untuk dibedah siasat. Pemandu kenderaan berusia 26 tahun berkenaan tidak mengalami kecederaan dan telah ditahan reman bagi membantu siasatan," katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda RM20,000 selain lesen memandu digantung jika sabit kesalahan.

Bernama difahamkan mangsa yang berasal dari Mersing baharu tiga minggu bekerja Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru.

Allahyarham meninggalkan enam anak berusia antara tiga dan 19 tahun.

Jenazah dituntut waris dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ladang Koperasi Sungai Ambat, Mersing, hari ini. -BERNAMA 

No comments:

Post a Comment