My Add

Tuesday 23 July 2013

Iklan 17 GLC, GLIC rendah

Oleh HUSSAINI AMRAN

KUALA LUMPUR, ISNIN, 22 Julai, 2013: Jumlah perbelanjaan pengiklanan oleh 17 syarikat milik kerajaan (GLC) terbesar di negara ini untuk media berbahasa Melayu sepanjang 2012 adalah lebih rendah berbanding jumlah yang dibelanjakan untuk media berbahasa Inggeris.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berkata, jumlah yang dibelanjakan oleh kesemua GLC terbabit untuk membeli iklan dalam media berbahasa Melayu adalah pada kadar 23 peratus daripada perbelanjaan pengiklanan manakala bagi media berbahasa Inggeris, jumlahnya pada kadar 49.5 peratus.

Menurut beliau, saranan Kementerian Kewangan supaya GLC memberi keutamaan kepada media cetak berbahasa Melayu dalam mengiklankan produk dan perkhidmatan masing-masing telah dibangkitkan pada Mesyuarat Jawatankuasa Putrajaya Bagi Prestasi Tinggi GLC (PCG) pada 3 Mei 2012.

“Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan dihadiri oleh pengerusi serta ketua pegawai eksekutif syarikat-syarikat pelaburan milik kerajaan (GLIC) dan 17 GLC terbesar di bawah Program Transformasi GLC.

“Kesemua wakil GLIC dan 17 GLC yang hadir pada mesyuarat tersebut telah mengambil maklum tentang saranan yang dibangkitkan," katanya ketika menjawab soalan Senator Datuk Dr. Firdaus Abdullah pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Walau bagaimanapun Ahmad memberitahu, jumlah perbelanjaan pengiklanan beberapa GLC untuk media berbahasa Melayu mula menunjukkan peningkatan pada tahun lalu.

Jelas beliau, sebanyak 33 peratus daripada perbelanjaan Telekom Malaysia Berhad (TM) pada 2012 adalah dalam media berbahasa Melayu berbanding hanya 29 peratus pada 2011.

“Bagi Tenaga Nasional Berhad (TNB) pula, sebanyak 48 peratus daripada perbelanjaan pengiklanannya pada 2012 adalah dalam media berbahasa Melayu berbanding 39 peratus dalam media berbahasa Inggeris," ujarnya.

Ahmad menambah, pemilihan jenis akhbar yang dibuat oleh GLC adalah berdasarkan kepada beberapa faktor termasuk kumpulan pembaca sasaran, jumlah edaran akhbar dan kos pengiklanan serta memastikan pulangan ke atas kos pengiklanan selain keberkesanan iklan mencapai matlamatnya.

Menjawab soalan tambahan Firdaus berhubung arahan kerajaan kepada GLC untuk mengutamakan media cetak berbahasa Melayu, beliau berkata, terdapat kesan positif selepas arahan itu dikeluarkan dan kerajaan akan meneruskan usaha bagi memastikan GLC mengutamakan bahasa Melayu yang juga mempunyai nilai komersial.

Terdahulu, ketika menjawab soalan Senator Chew Lee Giok tentang jumlah wang yang dibelanjakan kerajaan untuk pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2.0, Ahmad menjelaskan, sebanyak RM2.9 bilion telah diagihkan kepada 4.8 juta penerima isi rumah dan dua juta penerima bujang. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment