My Add

Saturday 13 July 2013

Imigresen perketat kawalan pintu masuk

KUALA LUMPUR, SABTU, 13 Julai, 2013: Jabatan Imigresen memperketat dan mempertingkatkan kawalan di semua pintu masuk negara susulan kejadian lebih 200 banduan meloloskan diri daripada Penjara Tanjung Gusta di Medan, Indonesia.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Alias Ahmad berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia dan Polis Diraja Malaysia dalam memastikan tiada banduan berkenaan memasuki dan seterusnya menjadikan Malaysia tempat persembunyian mereka.

"Kita akan memperketat kawalan di semua pintu masuk negara kerana mungkin ada banduan ini yang akan membuat dokumen palsu dan seterusnya memasuki Malaysia sebagai pelancong.

"Kita harap pihak berkuasa Indonesia dapat memberi butiran peribadi banduan berkenaan supaya kita dapat menahan mereka sekiranya ada yang cuba memasuki negara ini," katanya ketika dihubungi Bernama.

Alias berkata, maklumat yang diperlukan termasuk gambar dan nombor pasport banduan terlibat, kerana ada dalam kalangan mereka pesalah keganasan.

Media sebelum ini melaporkan dalam kejadian kelmarin, kira-kira 240 banduan melarikan diri selepas merusuh dan membakar bangunan penjara kerana tidak puas hati dengan keadaan penjara.

Insiden itu menyebabkan tiga tahanan dan dua kakitangan penjara terbunuh.

Laporan sebuah akhbar memetik pejabat Kedutaan Malaysia di Indonesia mengesahkan empat rakyat Malaysia antara 2,600 banduan yang berada di penjara itu. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment