My Add

Saturday 27 July 2013

Inflasi Indonesia 8 peratus

Daripada SAHARUDIN MUSTHAPA

 * KADAR inflasi Indonesia tahun ini dijangka sekitar 7.2 peratus - REUTERS
JAKARTA, JUMAAT, 26 Julai, 2013: Keputusan kerajaan Indonesia menaikkan harga minyak baru-baru ini memberi kesan pada peningkatan kadar inflasi negara itu yang mencecah lapan peratus pada bulan ini.

Usaha bersepadu itu diambil bagi menurunkan kadar inflasi dalam tempoh lima bulan terakhir tahun ini iaitu sejajar dengan sasaran kerajaan negara itu yang meramalkan kadar inflasi bagi 2013 sebanyak 7.2 peratus.

"Bank Indonesia mengendalikan kaji selidik mengenai harga barang di 20 kota setiap minggu untuk mengawal kadar inflasi dan hasilnya pada minggu ketiga bulan Julai angka berkenaan sudah mencecah lapan peratus," kata Gabenor Bank Indonesia, Agus Martowardojo.

Berdasarkan rekod Bank Indonesia, kali terakhir negara itu mencatat kadar inflasi tinggi ialah pada bulan Februari 2009 dengan kadar 8.9 peratus.

Ketika kerajaan Indonesia meramalkan kadar inflasi bagi tahun ini mencecah 7.2 peratus, bank pusat negara itu pula menjangkakan angka kadar inflasi berada di bawah 7.8 peratus.

Pada tahun 2005 dan 2008, perkembangan yang serupa berlaku apabila kadar inflasi Indonesia naik secara mendadak selepas kerajaan negara itu menaikkan harga minyak.

Bagaimanapun, situasi yang berlaku pada kedua-dua tahun berkenaan dan masa kini disifatkan oleh penganalisis ekonomi amat berbeza sehingga menyumbang pada tekanan inflasi.

Pada ketika ini, kadar inflasi meningkat kerana nilai mata wang Rupiah sangat rendah serta faktor peningkatan barangan keperluan asas berikutan bulan puasa dan sambutan Aidilfitri awal bulan depan.

"Kesan yang berlaku hari ini berbeza dengan apa yang berlaku pada tahun 2005 dan 2008. Nilai rupiah semakin rendah, sementara kadar inflasi tahun lalu sangat rendah.

"Nampaknya kita akan melihat kadar inflasi tahunan akan berada di angka lapan peratus untuk satu tempoh yang lama," kata penganalisis ekonomi OCBC Bank di Singapura, Gundy Cahyadi seperti dilapor akhbar The Jakarta Post hari ini. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment