Insiden pencerobohan jadi wake up call pasukan keselamatan
KOTA KINABALU, AHAD, 14 Julai, 2013: Insiden pencerobohan di Lahad Datu dan Semporna seharusnya dijadikan sebagai wake up call bagi pasukan keselamatan negara dalam memperkukuh dan melihat 'ruang kosong' yang perlu ditambah baik.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kejadian yang tidak pernah diduga itu seharusnya dijadikan iktibar terbaik dalam memperbaiki teras utama di dalam bidang ketenteraan.
Katanya, perkara yang perlu diberi keutamaan dan tiada kompromi adalah faktor kesiapsiagaan, kesatuan, profesionalisme dan hubungan tentera dengan orang awam.
"Dalam era globalisasi yang turut membawa ancaman baharu menjadikan insiden pencerobohan di Lahad Datu sebagai pengajaran terbaik untuk memperkukuhkan perkara-perkara asas dalam ketenteraan.
"Kita perlu melihat kejadian tersebut secara mendalam agar kerjasama ketenteraan dengan agensi keselamatan lain termasuk laut dan udara dapat dilakukan sebaik-baiknya," katanya dalam sidang akhbar majlis berbuka puasa bersama Warga 5 Briged Kem Lok Kawi, dekat sini hari ini.
Yang hadir sama, Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Abdul Rahim Bakri; Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Panglima Briged Kelima Infantri, Brigadier Jeneral Datuk Ranjit Singh Ramday.
Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, tiga perkara perlu diberi perhatian oleh pasukan keselamatan dalam memastikan kerjasama erat dapat dilaksanakan sekiranya berlaku kejadian tidak diingini.
Jelasnya, tiga perkara itu adalah pendirian atau hala tuju yang jelas, komunikasi dan koordinasi dalam berdepan ancaman musuh dan mengadakan kerjasama erat dengan orang ramai.
Beliau berkata, kejadian di Lahad Datu dan Semporna merupakan satu hikmah untuk memperkukuhkan lagi tahap kesiapsiagaan pasukan keselamatan negara.
Sementara itu, Hishammuddin turut menyatakan pelajar Malaysia di Mesir masih belum dibawa pulang kerana mereka sedang menghadapi peperiksaan sehingga 8 Ogos depan.
Jelasnya, sekiranya dibawa pulang dan tidak dapat mengambil peperiksaan, kumpulan pelajar tersebut terpaksa mengulangi pengajian selama setahun lagi dan menduduki peperiksaan semula pada tahun hadapan.
Bagaimanapun katanya, kerajaan Malaysia akan sentiasa memantau keadaan di negara bergolak tersebut dan keselamatan para pelajar Malaysia, selain mendapatkan khidmat bantuan pihak keselamatan Mesir bagi melindungi pelajar negara. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment