My Add

Friday 19 July 2013

Iskandar Malaysia tarik RM7.56 bilion pelaburan baharu

JOHOR BAHRU, KHAMIS, 18 Julai, 2013: Iskandar Malaysia terus menjadi tumpuan pelabur apabila berjaya menarik RM7.56 bilion pelaburan baharu pada suku kedua tahun ini berbanding RM5.06 bilion yang dicatatkan pada suku pertama.

Dengan pelaburan terbaharu itu, ia menjadikan pelaburan komited terkumpul Iskandar Malaysia sejak ditubuhkan pada 2006 hingga 30 Jun 2013 mencecah RM118.93 bilion iaitu peningkatan sebanyak RM12.62 bilion sejak Disember 2012.

Hingga pertengahan tahun ini, daripada jumlah tersebut, pelabur tempatan menyumbang sebanyak RM78.09 bilion (66 peratus) pelaburan, manakala baki RM40.84 bilion (34 peratus) pula disumbangkan oleh pelabur asing.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, jumlah pelaburan yang kian meningkat adalah tanda keyakinan pelabur dari dalam dan luar negara terhadap pembangunan di Iskandar Malaysia.

"Pembangunan di kawasan tersebut terus rancak dan berjaya menarik pelabur baharu dengan pelaburan tempatan juga meningkat setiap suku tahun," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Bersama Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) berkata, daripada jumlah pelaburan diterima itu, sebanyak RM53.73 bilion atau 45 peratus merupakan pelaburan yang telah direalisasikan.

Iskandar Malaysia mempromosi sembilan sektor utama dengan pembuatan merekodkan pelaburan tertinggi.

Australia, Singapura, Switzerland, United Kingdom dan Amerika Syarikat mencatatkan jumlah pelaburan tertinggi. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment