My Add

Wednesday 24 July 2013

 NGO Islam serah memorandum bantah Marino kepada Yang di-Pertuan Agong

 * ABDULLAH Zaik Abdul Rahman (tengah) bersama wakil-wakil NGO Islam menunjukkan memorandum yang diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di pekarangan Istana Negara, Kuala Lumpur, semalam. BERNAMA
KUALA LUMPUR, SELASA, 23 Julai, 2013: Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Islam hari ini menyerahkan memorandum bantahan keras terhadap Duta Vatican City ke Malaysia, Biskop Joseph Marino kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di Istana Negara.

Memorandum itu diserahkan ekoran isu kenyataan Marino kepada portal berita tempatan baru-baru ini yang menyokong penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian di negara ini sekali gus menyinggung sensitiviti umat Islam.

Pengerusi Gabungan NGO Islam, Abdullah Zaik Abdul Rahman berkata, memorandum itu memohon agar Tuanku Abdul Halim menitahkan supaya Kedutaan Vatican City ke Malaysia ditutup dan tiada lagi status seumpama itu diberikan oleh kerajaan Malaysia pada masa depan kerana ia telah memperjudikan kesucian Islam sebagai agama Persekutuan.

"Dalam memorandum itu juga dinyatakan bahawa kenyataan Marino disifatkan sebagai satu pelanggaran kesopanan diplomatik, khususnya pelanggaran terhadap Artikel 41 Konvensyen Vienna mengenai Perhubungan Diplomatik 1961 yang melarang mencampuri urusan dalaman sesebuah negara asing," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menyerahkan memorandum bantahan itu kepada Setiausaha Sulit Kanan kepada Yang di-Pertuan Agong, Datuk Elmi Yusoff yang diwakili Pegawai Perhubungan Awam Istana Negara, Muhd. Khairi Abdul Rahman.

Abdullah Zaik berkata, kenyataan Marino itu menunjukkan bahawa beliau tidak faham akan sebab-sebab dan keadaan kontroversi yang meliputi penggunaan nama suci Allah dalam kalangan bukan Islam atau boleh dianggap sengaja mencari sebab untuk mengeliru atau memutarbelitkan perkara yang sama.

"Ia juga membayangkan kejahilan Duta Vatican City terhadap kedudukan istimewa yang diberikan kepada agama Islam sebagai agama Persekutuan. Ini juga sesuatu yang tidak kena pada masa dan tempatnya serta boleh dianggap bertujuan mencampuri proses perundangan Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang berdaulat," katanya.

Katanya, walaupun Marino telah memohon maaf melalui Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman setelah kontroversi itu timbul, Gabungan NGO Islam menolaknya kecuali dilakukan secara terbuka kepada seluruh umat Islam di Malaysia. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment