My Add

Thursday 11 July 2013

Islam tidak pernah ajar berbaiah seperti Pas

KUALA LUMPUR, RABU, 10 Julai, 2013: Islam tidak pernah mengajar umatnya berbaiah seperti dilakukan oleh calon Pas bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut, Azlan @ Endot Yusof dalam satu program di Kuala Besut, semalam.

Sebaliknya tegas aktivis Pas, Mohd. Riza Kamaruddin, baiah hanya berlaku kepada ketua negara dan bukan selain daripadanya.

''Baiah itu bermaksud ikrar ketaatan kepada pemerintah atau kepada ketua. Namun, Islam tidak pernah mengajar kita berbaiah sebegitu rupa untuk menarik perhatian orang ramai.

''Apatah lagi baiah itu dibuat dengan perkataan 'sekiranya' di hadapan pemimpin dan penyokong parti mereka. Tidakkah itu boleh dilihat sebagai main-main dan tidak bersungguh-sungguh,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan mengejut Pas itu apabila meminta Endot melafazkan baiah akan dilaknat Allah jika melompat parti sekiranya menang.

Azlan @ Endot, 48, melafazkan baiah berkenaan dengan dipimpin oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang antara lain menyebut jika beliau keluar daripada Pas dan menyertai parti lain, beliau akan dilaknat Allah dan Rasul.

Baiah itu dilafazkan sejurus selepas Abdul Hadi mengumumkan Azlan @ Endot sebagai calon Pas bagi PRK tersebut di Kampung Nail, Kuala Besut, Terengganu, semalam.

Mohd. Riza turut mempersoalkan mengapa baiah itu terpakai sekiranya calon Pas itu menang.

''Adalah lebih wajar sekiranya beliau melafazkan ikrar - saya bersedia dilaknat oleh Allah dan seluruh makhluk, jika saya menang saya gagal untuk melaksanakan tanggungjawab saya seperti yang sepatutnya,'' katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment