My Add

Sunday 28 July 2013

Isu Ramsar: SPRM perlu siasat

Oleh MOHAMAD SHOFI MAT
 
 * ISMAIL Sabri Yaakob (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan zakat sambil bertanya khabar kepada salah seorang warga emas dalam majlis perasmian Karnival Jualan Murah dan Penyerahan Zakat di Bera, Pahang, semalam. - MINGGUAN/MAHATHIR ALI
BERA, SABTU, 27 Julai, 2013: Tindakan tegas perlu diambil ke atas pihak tidak bertanggungjawab menceroboh kawasan Ramsar atau Tanah Lembap seluas kira-kira 400 hektar yang terdapat di sekeliling Tasek Bera, di sini.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau kecewa bagaimana pencerobohan itu boleh berlaku dan berharap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat perkara tersebut.

"Kita tak mahu perkara ini berulang lagi sebab banyak kes pencerobohan tanah berlaku di Bera, pencerobohan tanah beribu-ribu ekar berlaku di Bera, berlaku di depan mata, ramai orang dah kaya raya di Bera ini hasil daripada penerokaan tanah secara haram.

"Di Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sendiri banyak tanah yang kita khaskan untuk padang ragut haiwan juga diteroka oleh pihak tidak bertanggungjawab, tidak ada tindakan pun yang diambil selama ini.

"Jadi, saya harap pihak bertanggungjawab segera mengenal pasti penceroboh yang terlibat, ambil tindakan dan saya harap SPRM juga datang untuk siasat," katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Karnival Jualan Murah dan Penyerahan Zakat, di sini hari ini.

Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan kawasan Tanah Lembap yang terdapat di sekeliling Tasik Bera diancam kepupusan selepas diceroboh secara sewenang-wenangnya untuk menjalankan aktiviti pertanian seperti ladang kelapa sawit tanpa sebarang kawalan dan penguatkuasaan.

Selasa lalu, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail berkata, kerajaan negeri akan mempertahankan kawasan yang diisytiharkan di peringkat antarabangsa sebagai kawasan Tanah Lembap pada 1994 itu serta tidak akan berkompromi dan mengambil tindakan tegas kepada pihak terlibat.

Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera berkata, selama ini kerajaan begitu bertegas mempertahankan Ramsar termasuk mengambil tindakan terhadap masyarakat Orang Asli yang menebang pokok di kawasan Tanah Lembab berkenaan.

"Tiba-tiba kita dapat tahu, ada pihak lain selain daripada masyarakat Orang Asli yang menebang pokok dan sebagainya tetapi tidak ada tindakan diambil sehingga begitu luas kawasan yang diteroka," katanya.

Beliau dalam pada itu berkata, jika ada salah guna kuasa atau pun penyelewengan berlaku di pihak kerajaan seperti pejabat tanah, tindakan perlu diambil terhadap pegawai berkaitan.

"Jika ada di kalangan pegawai kerajaan yang terlibat, bersekongkol dengan kumpulan penceroboh ini, mereka perlu dipertanggungjawabkan," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment