My Add

Friday 19 July 2013

Jadi pengajaran kepada golongan muda

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 18 Julai, 2013: Tindakan undang-undang yang dikenakan ke atas pasangan kontroversi Alvin Tan dan Vivian Lee boleh menjadi pengajaran terutama kepada golongan muda supaya tidak mempermainkan kesucian setiap agama di negara ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, tindakan undang-undang itu juga dapat memberi iktibar yang mana isu sensitif termasuk hal agama tidak boleh disentuh walaupun untuk berjenaka.

“Saya fikir apa yang berlaku akan memberi pengajaran kepada anak muda tidak kira apa agama mereka anuti. Jangan pernah menghina mana-mana agama kerana keharmonian harus dipertahankan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), di sini hari ini.

Dalam majlis itu, beliau turut menyerahkan sumbangan kepada pegawai dan anggota veteran JPAM serta anak-anak Yayasan Chow Kit.

Alvin atau nama sebenarnya Tan Jye Yee, 25, dan Vivian Lee, 24, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas tiga pertuduhan dan didakwa mengikut Subseksyen 4(1)(C) Akta Hasutan 1948.

Pasangan itu sebelum ini mencetuskan kemarahan umat Islam selepas disifatkan mempersenda kesucian Ramadan dengan mengajak umat Islam berbuka puasa dengan bak kut teh (sup tulang babi) menerusi foto yang dimuat naik di laman Facebook mereka.

Sementara itu, Ahmad Zahid meminta semua pihak menghormati sebarang keputusan yang dibuat mahkamah terhadap pasangan tersebut.

Dalam pada itu, beliau berkata, Kementerian Dalam Negeri mengalu-alukan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung Akta Keharmonian Nasional yang akan menggantikan Akta Hasutan.

Katanya, akta baharu itu masih mengekalkan 'semangat' yang terdapat dalam Akta Hasutan.

Najib sebelum ini menjelaskan, Akta Keharmonian Nasional tidak akan menjejaskan kuasa kerajaan dalam menangani perbuatan yang mengganggu-gugat perpaduan dan keharmonian masyarakat.

Menurut beliau, akta baharu itu juga akan mengekalkan tiga prinsip utama antaranya menangani perbuatan yang membawa permusuhan antara kaum, menghina Raja-raja Melayu atau mempersoal keistimewaan yang diperuntuk di bawah Perlembagaan Persekutuan. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment