My Add

Wednesday 10 July 2013

Jakim lancar pensijilan halal pengangkutan, gudang

KUALA LUMPUR, SELASA, 09 Julai, 2013: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini melancarkan skim pensijilan halal logistik bagi memperluaskan penggunaan sijil tersebut dalam industri halal negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, bahagian Hab Halal Jakim kini memperluaskan skop sijil halal dengan memasuki sektor pengangkutan dan penggudangan bagi memastikan barangan keperluan umat Islam diangkut mengikut piawaian halal yang ditetapkan.

"Dengan adanya skim pensijilan halal Malaysia bagi kategori logistik, ia akan meningkatkan lagi kepakaran, integriti dan kredibiliti negara untuk menjadi peneraju industri pensijilan halal di peringkat antarabangsa," katanya.

Teks ucapannya dibacakan oleh Ketua Pengarah Jakim, Datuk Othman Mustapha bagi merasmikan Konvensyen Pematuhan Halal Kebangsaan 2013 dan melancarkan sistem pensijilan halal skim logistik serta sistem pengurusan jaminan halal di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Bahagian Hab Halal Jakim, Hakimah Mohd. Yusoff dan Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Prof. Tan Sri Dr. Abdul Shukor Husin.

Sehubungan itu, Jamil Khir berkata, syarikat pengangkutan bertaraf multinasional boleh memohon pensijilan halal melalui sistem atas talian e-halal bagi skim logistik bermula 1 Julai lalu bagi kategori pengangkutan dan penggudangan.

"Kini, sesetengah negara di Timur Tengah sudah mula meminta (syarikat) logistik berkenaan supaya mempunya sijil halal. Sebagai contoh, syarikat yang sudah melalui proses samak dan sebagainya," katanya.

Sementara itu, Hakimah berkata, setakat ini, hampir 30 syarikat pengangkutan bertaraf multinasional telah memperolehi sijil halal bagi skim logistik melalui sistem e-halal sejak permohonannya dibuka.

"Skim logistik adalah skim pensijilan halal baharu berdasarkan standard MS2400:2010. Walau pun sistem e-halal sudah dibangunkan pada 2010, kita hanya boleh melaksanakan skim pensijilan halal logistik sekarang kerana Jakim sendiri perlu melaksanakan logistik dalaman mengikut skim tersebut terlebih dahulu," katanya.

Hakimah berkata, permohonan sijil halal masih lagi bersifat sukarela dan ia boleh menjadi nilai tambah kepada perkhidmatan syarikat yang mempunyainya dari aspek pematuhan syariah. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment