My Add

Saturday 13 July 2013

Jangan jual melebihi harga siling - Hasan Malek

PUTRAJAYA, JUMAAT, 12 Julai, 2013: Kerajaan memberi amaran keras kepada peniaga supaya tidak menjual ayam mencecah harga RM9.50 sekilogram sehingga membebankan pengguna.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek berkata, beliau juga telah mengarahkan penguat kuasa di seluruh negara melakukan pemantauan berhubung perkembangan itu.

Menurutnya, walaupun Skim Kawalan Harga Musim Perayaan akan berkuat kuasa bulan depan, namun peniaga tidak seharusnya mengambil kesempatan ekoran permintaan yang tinggi ketika ini.

Beliau berkata, harga siling ayam sebelum ini RM6.80 sekilogram namun harga tersebut hanya akan ditentukan sebaik sahaja skim kawalan harga dilaksana.

"Skim Kawalan Harga Hari Raya Aidilfitri tahun ini dijangka bermula awal bulan depan dan dalam tempoh itu harga maksimum ayam akan ditentukan kerjaan dan dikuatkuasakan ke atas pengeluar dan peniaga ayam.

"Pada hari-hari biasa, harga ayam di pasaran tidak dikawal dan ditentukan oleh permintaan serta penawaran," katanya kepada pemberita selepas melawat tapak bazar Ramadan Putrajaya di Presint 2, di sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan kenaikan harga ayam secara mendadak di beberapa buah negeri sejak dua minggu lalu sehingga mencecah antara RM1 hingga RM2 sekilogram sekali gus menimbulkan keresahan dalam kalangan pengguna.

Di kebanyakan negeri, harga ayam ketika ini dilaporkan dijual RM8 hingga RM8.50 sekilogram malah ada sesetengah kawasan dijual pada harga RM9 sekilogram, jauh lebih tinggi berbanding RM6.50 hingga RM7.60 sekilogram sebelum ini.

Kenaikan harga yang disifatkan tidak munasabah itu menyebabkan pengguna bimbang perlu menanggung kos lebih tinggi sepanjang Ramadan seterusnya persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Menurut Hasan, dalam pertemuan dengan kementerian baru-baru ini pihak industri ayam diberi amaran tegas supaya tidak mengambil kesempatan menaikkan harga ayam tanpa alasan munasabah. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment