My Add

Wednesday 17 July 2013

Jangan pandang rendah keupayaan golongan OKU - Rosmah

 * ROSMAH Mansor menyampaikan sumbangan hari raya kepada kanak-kanak OKU, Nur A'aliya Asihah Mat Hashim sambil diperhatikan oleh Noorainee Abdul Rahman (dua dari kanan) dan Saripah Zulkifli (kiri) ketika majlis penyampaian sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada Golongon OKU 2013 di Mydin Bandar Meru Raya, Ipoh, Perak, semalam.
IPOH, SELASA, 16 Julai, 2013: Masyarakat tidak wajar memandang rendah keupayaan golongan orang kurang upaya (OKU) kerana mereka turut mempunyai kelebihan setara dengan insan sempurna lain.

Sehubungan itu, Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti), Datin Seri Rosmah Mansor berkata, kehadiran golongan tersebut dalam masyarakat perlu diterima dengan hati terbuka.

Isteri Perdana Menteri itu menambah, kekangan minda dalam kalangan masyarakat, ibu bapa dan guru-guru di pusat pemulihan dalam komuniti (PDK) dalam mendidik serta membesarkan anak-anak istimewa seharusnya tidak lagi wujud supaya mereka dapat meneruskan kehidupan lebih baik pada masa depan.

"Golongan OKU perlu diberi peluang memajukan diri dan kita sebagai insan sempurna perlu membantu mereka terutama untuk keluar daripada kepompong menangisi kecacatan yang berlaku. Bantulah mereka sehingga mereka mampu berkata 'saya tidak melihat diri saya sebagai OKU lagi'," tegasnya.

Beliau berucap dalam majlis penyampaian sumbangan Hari Raya Aidilfitri Program Semai Bakti Kepada Golongan OKU di Pasar Raya Mydin di Meru Raya, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Naib Yang Dipertua Bakti, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman dan Yang Dipertua Badan Amal dan Isteri-isteri Wakil Rakyat Perak (Baiduri), Datin Seri Saripah Zulkipli.

Yang hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Integrasi Nasional negeri, Datuk Rusnah Kasim dan Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd., Datuk Ameer Ali Mydin.

Dalam majlis itu, sebanyak 250 anak-anak OKU daripada 10 PDK di seluruh negeri ini menerima sumbangan berupa wang tunai, makanan dan pakaian raya.

Selain sumbangan daripada Bakti, Baiduri turut memberi sumbangan sama kepada sebanyak 17 OKU bukan beragama Islam supaya dapat bersama-sama merasai kemeriahan suasana Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

Sementara itu, Rosmah turut menyeru badan-badan amal negeri ini terus melaksana pelbagai program yang dapat membawa golongan OKU ke tahap lebih tinggi.

Beliau berkata, kerjasama pelbagai pihak termasuk kerajaan, badan korporat dan individu perlu ditingkatkan untuk memastikan golongan itu sentiasa berasakan mereka juga sebahagian daripada masyarakat. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment