My Add

Sunday 14 July 2013

Jangan terpedaya taktik Pas - Ahmad Shabery

KUALA BESUT, AHAD, 14 Julai, 2013:: Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mengingatkan pengundi di Kuala Besut jangan terpengaruh kempen PAS yang seolah-olah mahukan keadaan tidak stabil di Terengganu selepas pilihan raya kecil (PRK) kawasan itu 24 Julai ini.

Katanya keadaan berkenaan tidak akan memberi apa-apa keuntungan kepada rakyat di Terengganu yang telah banyak mendapat manfaat pembangunan daripada kerajaan pusat dan negeri sejak 2004.

"Selain kerajaan pusat, kerajaan negeri banyak membuat kesinambungan pembangunan yang berterusan, PAS (1999-2004) telah mencatat sejarah hitam kepada rakyat di Terengganu," katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Media PRK DUN Kuala Besut di sini hari ini.

PAS menggunakan slogan 16-16, merujuk kepada imbangan kerusi sebanyak 16 dikuasai BN dan 16 oleh pembangkang jika mereka memenangi PRK DUN Kuala Besut, sekaligus mewujudkan suasana "tergantung" dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu.

Ditanya sama ada kempen pembangkang akan turut mendapat liputan daripada media kerajaan, Ahmad Shabery berkata media terbabit seperti Radio Televisyen Malaysia (RTM) diberi kuasa membuat pertimbangan profesional berdasarkan nilai berita.

Katanya, RTM memberi ruang perbahasaan secara langsung dari Parlimen di mana pihak pembangkang turut mendapat peluang daripada siaran langsung itu dan tiada masalah untuk pihak kerajaan menyiarnya kepada umum.

Sementara itu, beliau berkata Jabatan Penerangan akan memastikan semua petugas media di PRK Kuala Besut menerima kemudahan yang terbaik di pusat media khasnya kemudahan internet yang lebih pantas.
Katanya dengan adanya Pusat Media itu pihak media akan lebih pantas untuk membuat liputan dan menyalurkan laporan terkini mengenai PRK Kuala Besut.

Dianggarkan 500 petugas media mulai berkampung di Kuala Besut sempena PRK Kuala Besut yang diadakan berikutan kematian penyandangnya Dr A. Rahman Mokhtar daripada Barisan Nasional (BN) pada 26 Jun lepas akibat kanser paru-paru.

Ia melibatkan pertandingan satu lawan satu antara calon BN, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman dan calon PAS, Endot@Azlan Yusof. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment