My Add

Thursday 18 July 2013

Jati enggan terima maaf Duta Vatican City

KUALA LUMPUR , RABU, 17 Julai, 2013: Jalur Tiga Malaysia (Jati) tidak dapat menerima permohonan maaf Duta Vatican City ke Malaysia, Biskop Joseph Marino berhubung isu kalimah Allah, kata presidennya, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali hari ini.

Beliau berkata, badan bukan kerajaan itu berpendapat permohonan maaf Marino kepada rakyat Malaysia, yang dibuat menerusi Kementerian Luar semalam, tidak memadai untuk mereda dan memadam kemarahan serta ketidakpuasan hati masyarakat Islam di negara ini.

"Duta Vatican City itu perlu menarik balik kenyataan yang telah dikeluarkannya yang menyokong penggunaan kalimah Allah oleh pihak gereja di negara ini.

"Pada masa yang sama, beliau perlu berjanji untuk tidak akan mengulangi perkara yang sama pada masa hadapan," katanya dalam kenyataan di sini.

Sehubungan itu, Hasan meminta pihak berkuasa tidak mengambil permohonan maaf Marino sebagai jalan penyelesaian akhir kepada isu itu sebaliknya merangka langkah segera untuk memastikan kejadian itu tidak berulang.

"Langkah ini juga untuk menjadi pengajaran kepada semua pihak supaya menghormati kedaulatan negara ini," katanya.

Beliau mengulas permohonan maaf Marino kepada rakyat Malaysia atas salah faham dan rasa kurang senang yang timbul susulan kenyataannya mengenai penggunaan kalimah Allah.

Semalam, Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, duta itu menjelaskan tidak berniat untuk mencampuri hal ehwal dalaman Malaysia.

Marino dipanggil ke Wisma Putra pada 12 tengah hari semalam.

Dalam pada itu, Hasan berkata Jati dan beberapa NGO lain tetap meneruskan acara penyerahan nota bantahan kepada pejabat kedutaan Vatican City selepas solat Jumaat ini. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment