My Add

Monday 22 July 2013

Jerebu: Belum ada bukti syarikat Malaysia terlibat

KUALA LUMPUR, ISNIN, 22 Julai, 2013: Kerajaan Indonesia setakat ini belum mengemukakan sebarang bukti tentang penglibatan syarikat-syarikat perladangan Malaysia dalam pembakaran terbuka yang mengakibatkan masalah jerebu bulan lalu.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk James Dawos Mamit berkata, belum ada pendakwaan oleh kerajaan Indonesia terhadap syarikat-syarikat Malaysia di negara tersebut.

Menurut beliau, terdapat pelbagai faktor yang menyumbang kepada masalah jerebu termasuk tindakan penguatkuasaan undang-undang yang kurang berkesan oleh kerajaan Indonesia bagi mengawal aktiviti pembakaran terbuka dalam kalangan rakyatnya.

"Faktor ini ditambah pula dengan keadaan sempadan geografi Indonesia yang begitu luas yang menyukarkan lagi aktiviti pembakaran terbuka ini dibendung.

"Pemantauan, kawalan dan tindakan undang-undang terhadap pesalah-pesalah yang melakukan aktiviti itu adalah sepenuhnya di bawah tanggungjawab kerajaan Indonesia," katanya ketika menjawab soalan Senator Chandra Mohan berhubung dakwaan syarikat Malaysia terlibat dalam pembakaran terbuka di Indonesia di Dewan Negara hari ini. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment