My Add

Thursday 18 July 2013

JKKP siasat rapi punca lif Flat Desa Tun Razak rosak

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 18 Julai, 2013: Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (JKKP) akan menjalankan siasatan rapi bagi mengenal pasti punca lif kedua rosak di Blok 8, Perumahan Awam Desa Tun Razak di sini hingga meragut nyawa seorang murid semalam.

Timbalan Ketua Pengarah Operasi JKKP, Mohtar Musri berkata, rekod pemeriksaan menunjukkan tiga lif di blok itu sering diselenggara oleh pihaknya selain tinjauan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

"Kami akan mencari punca masalah ini dari segi faktor penyelenggaraan, operasi, kejuruteraan, atau mungkin penggunaan penduduk sekitar," katanya kepada pemberita selepas meninjau lif yang rosak itu hari ini.

Beliau mengakui pihaknya menerima beberapa aduan berhubung tiga lif yang rosak di blok berkenaan.

"Jadi, apa yang penting kami perlu laksanakan proses penyelenggaraan ini dengan kadar segera," katanya sambil mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.

Khairul Amir Azri Lani, 11, pelajar Tahun Lima Sekolah Kebangasaan Bandar Tasik Selatan maut selepas tersepit di lif kedua ketika cuba keluar dari lif berkenaan yang tersekat di antara dua tingkat di blok perumahan itu kira-kira 12.50 tengah hari semalam.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pengurusan Perumahan dan Komuniti Sosial DBKL, Wan Mohd. Ghazali Nor Tengku Adnan berkata, DBKL masih menunggu laporan penuh daripada JKKP mengenai kejadian yang berlaku.

"Di samping itu, kami juga masih menunggu laporan dari pihak polis dan bomba berkaitan punca kerosakan lif di blok berkenaan," katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, DBKL juga telah menyampaikan sumbangan awal RM500 dan RM500 lagi daripada Yayasan Wilayah Persekutuan kepada keluarga mangsa ketika ditemui di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) petang semalam.

"Saya telah mewakili Datuk Bandar Kuala Lumpur dan Menteri Wilayah Persekutuan bagi menyampaikan sumbangan dan ucapan takziah kepada keluarga mangsa," katanya.

Tinjauan di blok berkenaan hari ini, mendapati dua daripada tiga lif di bangunan itu sudah dibenarkan beroperasi semula untuk kegunaan penduduk.

Lif kedua yang rosak masih ditutup untuk membolehkan JKKP menjalankan penyelenggaraan.

Syarikat EITA Resources Berhad (EITA) turut menugaskan penjaga lif untuk kedua-dua lif itu.

Sementara itu, penduduk di blok itu Ratha a/p Ganesen, 33, berkata, kejadian maut semalam membuatkan para penduduk takut menggunakan perkhidmatan lif.

"Saya akan menemani anak saya sehingga ke bawah kerana risau keselamatannya yang masih bersekolah rendah," katanya.

Khairulnizam Mokhtar, 39, pula berkata, kerosakan lif itu mungkin berpunca daripada sikap penduduk yang tidak mematuhi peraturan lif.

"Ada penduduk yang membawa motosikal masuk lif, ada juga kanak-kanak yang suka bermain dengan butang lif," katanya yang tinggal di tingkat 21 blok berkenaan. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment