My Add

Tuesday 23 July 2013

Jualan industri kereta meningkat

 
PETALING JAYA, ISNIN, 22 Julai, 2013: Jualan keseluruhan industri (TIV) kereta di Malaysia bagi separuh pertama 2013 mencatatkan peningkatan 4.1 peratus berbanding tempoh yang sama tahun 2012, meskipun dakwaan para pengedar jualan mereka terjejas akibat sentimen tunggu dan lihat pengguna sekitar Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu.

Berdasarkan maklumat Persatuan Automotif Malaysia (MAA), sejumlah 313,488 kenderaan terjual dari Januari hingga Jun lalu, berbanding 301,269 bagi tempoh yang sama tahun 2012.

Daripada 313,488 kenderaan itu, 275,991 merupakan kenderaan penumpang dan selebihnya adalah kenderaan komersial.

Presiden MAA, Datuk Aishah Ahmad (gambar) menjangka jualan bagi separuh kedua tahun ini akan terus mengukuh melalui beberapa pengenalan model baharu, pemulihan sentimen pasaran dan kerancakan permintaan domestik.

Sebelum ini, kebanyakan pengedar kereta tempatan sering menyalahkan kempen pengurangan harga yang dimainkan semasa kempen PRU-13 yang lalu telah menyebabkan orang ramai tidak melakukan sebarang pembelian kereta kerana menantikan keputusan pilihan raya.

Dari Januari sehingga Jun lalu, Perodua mencatatkan jualan kereta terbanyak dengan 96,873 buah, diikuti Proton dengan 64,782, Toyota (43,747), Nissan (26,268) dan Honda (21,869).

Dalam pada itu, Aishah tidak menjangka kerajaan akan mengumumkan pengurangan duti eksais kenderaan di dalam pembentangan Bajet 2014 pada 25 Oktober ini kerana langkah itu bakal menjejaskan pendapatan kerajaan.

Kerajaan mengutip kira-kira RM7 bilion melalui duti eksais kenderaan.

"Pengurangan duti eksais boleh menjejaskan pendapatan kerajaan dalam jangka pendek," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar mengenai prestasi jualan kenderaan di Malaysia bagi separuh pertama tahun ini, di sini hari ini - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment