My Add

Saturday 27 July 2013

Kalimah Allah: Marino perlu tarik balik sokongan - Jati

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 26 Julai, 2013: Duta Vatican City, Biskop Joseph Marino digesa menarik semula kenyataannya sebelum ini yang menyokong penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian di negara ini dan berjanji tidak akan mengulangi lagi perbuatan tersebut pada masa hadapan.

Presiden Jalur Tiga (Jati), Datuk Dr. Hassan Ali berkata, jika Joseph Marino gagal untuk mengambil tindakan tersebut, beliau perlu dihantar pulang ke Vatican City.

''Joseph Marino perlu digantikan dengan seorang yang benar-benar memahami perkara sensitif penduduk negara ini serta akur dengan etika diplomatik yang lazim dipraktikkan oleh perwakilan asing," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, Jati juga tidak akan menerima kenyataan permohonan maaf yang dikeluarkan oleh Pejabat Kedutaan Vatican City kecuali daripada Joseph Marino sendiri.

Jelasnya, permohonan maaf itu perlu dikeluarkan oleh mulut yang sama yang telah mengeluarkan kenyataan yang disifatkan mencampuri urusan dalaman negara.

"Kenyataan yang keluar daripada mulut duta tersebut telah menggores hati masyarakat Islam di negara ini dan jika dibiarkan mungkin boleh mencetuskan suasana perhubungan agama yang tidak diingini," katanya.

Tindakan Duta Vatican City ke Malaysia itu menyatakan sokongan terhadap tuntutan penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian di negara ini telah mencetuskan keresahan dalam kalangan rakyat negara ini sebelum pejabat kedutaan itu mengeluarkan tuntutan maaf.

Hasan berkata, Jati juga berpegang teguh pada gesaan yang telah dibuat supaya kerajaan menyemak semula keperluan menubuhkan kedutaan Vatican City di negara ini.

Dalam pada itu, Jati dan beberapa pimpinan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah diundang oleh Timbalan Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainuddin ke Wisma Putra hari ini bagi menyuarakan pandangan dan pendapat pimpinan NGO berhubung isu tersebut kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Kami menyambut baik pelawaan Timbalan Menteri untuk mengadakan pertemuan berkala antara Wisma Putra dengan NGO untuk terus membincangkan isu-isu yang melibatkan hubungan antarabangsa yang mempunyai kaitan langsung dengan kehidupan rakyat di negara ini.

"Langkah tersebut wajar dicontohi oleh kementerian lain supaya isu-isu yang timbul bukan sahaja dapat dirumus menggunakan input dalaman sebaliknya menimba maklumat dan pengalaman NGO sebagai jurubicara rakyat umumnya," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment