My Add

Friday 19 July 2013

Kawasan tanah runtuh di Kundasang akan dipulihkan: Pairin

KOTA KINABALU, JUMAAT, 19 Julai, 2013:: Kerajaan bersama kementerian berkaitan akan mengambil langkah alternatif untuk memulihkan kawasan kejadian tanah runtuh di Kundasang, yang mengorbankan seorang warga emas, Selasa lalu.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, berkata kedudukan geologi yang tidak stabil di kawasan tanah runtuhan itu akan dikaji bagi membolehkan infrastruktur di kawasan itu dapat dikekalkan dan bertahan lama.

"Sepertimana dimaklumkan bahawa keadaan tanah di kawasan tersebut memang sentiasa tidak tetap kerana mempunyai batu dan tanah yang tidak padat," katanya kepada pemberita selepas penyampaian sumbangan kuih raya Parti Bersatu Sabah (PBS) kepada anggota polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kepayan di sini, hari ini.

Pairin yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah berkata demikian ketika diminta mengulas insiden tanah runtuh di Kampung Mesilau, yang mengorbankan, penjual strawberi, Dohumie Kinte, 78 tahun.

Dalam kejadian pada jam 10.45 pagi itu, Dohumie dipercayai sedang memetik strawberi seorang diri di kebunnya seluas lebih satu hektar dan mayatnya ditemui 24 jam kemudian, di dalam timbunan tanah runtuh itu.

Pairin berkata, kementeriannya sedang menunggu laporan mengenai keadaan jalan raya yang bermasalah terutamanya di kawasan Mesilau selain mengarahkan pihak berkaitan bagi menentukan tahap kerosakan jalan itu.

"Disebabkan perubahan geologi, kedudukan infrastrukutur di kawasan terbabit juga turut berubah sama ada secara perlahan, lama ataupun mengikut benteng yang diletakkan di kawasan tersebut," katanya.

Sehubungan itu, beliau turut meminta penduduk di kawasan berkenaan supaya sentiasa berhati-hati dengan kedudukan kawasan bercerun tinggi yang berisiko berlaku tanah runtuh.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau berkata pengorbanan anggota polis dalam menjaga keamanan dan kestabilan khususnya di Sabah, amat dihargai terutamanya semasa insiden pencerobohan kumpulan pengganas Sulu di Lahad Datu, awal tahun ini.

"Kejadian di Lahad Datu menyedarkan masyarakat bahawa peranan pasukan keselamatan amat penting sekali ... dan kita diberi jaminan keselamatan pada tahap yang tinggi," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment