My Add

Tuesday 16 July 2013

Kedah terus laksanakan usaha baik kerajaan terdahulu - Mukhriz

ALOR SETAR, ISNIN, 15 Julai, 2013: Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, kerajaan negeri pimpinan beliau akan meneruskan apa-apa sahaja usaha yang disifatkan baik untuk rakyat yang pernah dilaksanakan kerajaan negeri terdahulu termasuk pimpinan Pas Kedah.

Beliau berkata, sebagai contoh sepanjang Ramadan ini pihaknya meneruskan tradisi kerajaan Pas Kedah dahulu menyampaikan sumbangan kepada guru al-Quran sukarela serta bidan kampung, namun kali ini turut menghargai jasa tok mudim.

Beliau berkata, sebelum ini, kerajaan negeri yang kini diterajui Barisan Nasional (BN) turut meneruskan program Kuliah Sabtu di Seri Mentaloon yang pernah diadakan oleh Pas Kedah.

“Bagi saya sesuatu yang baik itu harus dikekalkan biarpun yang memperkenalkannya adalah kerajaan terdahulu.

‘‘Kita amat menghargai jasa tiga kelompok masyarakat yang memainkan kehidupan dalam masyarakat itu iaitu guru Quran ini menyuburkan jiwa dan rohani kita dengan kalimah Allah sedari kecil lagi. Peranan Mak Bidan kampung dan Tom Mudim juga tidak kurang pentingnya.

“Satu lagi program yang kita teruskan adalah Kuliyah Sabtu di Seri Mentaloon. Syukur Alhamdulillah sambutan setakat ini amat memuaskan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan kepada guru al-Quran sukarela, bidan kampung dan mudim daerah Kota Setar di Dewan Seri Mentaloon, di sini semalam.

Pada majlis itu, Mukhriz menyampaikan sumbangan kepada 771 guru Al-Quran sukarela, bidan kampung dan mudim di daerah Kota Setar.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Agama, Hal Ehwal Masyarakat India dan Siam, Sumber Tenaga Manusia, Pelancongan, Mohd Rawi Abd. Hamid, Mufti Kedah, Datuk Sheikh Muhamad Baderudin Ahmad, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd. Puat Mohd. Ali dan Pengarah Pembangunan Persekutuan Negeri Kedah, Datuk Azmi Lateh.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan negeri dalam fasa penting dengan pelbagai inisiatif sedang dirancang dan dilaksanakan untuk memacu pembangunan negeri.

Katanya, sebahagian besar program pembangunan melibatkan perkara yang digariskan dalam Aku Janji Barisan Nasional Kedah dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu.

“Beberapa perkara yang dijanjikan kepada rakyat telah dan sedang ditunaikan. Ini termasuk memperkemaskan kembali pengurusan dan pentadbiran Kolej Universiti Insaniah.

“Pusat pengajian tinggi ini adalah kebanggaan kita dan sekiranya ia lemah dan tidak ditadbir dengan baik maka secara langsung imej kerajaan negeri turut tercalar. Keyakinan umum terhadap keupayaan pentadbiran kerajaan negeri turut susut sekiranya tindakan pembetulan tidak diambil dengan serta merta," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment