My Add

Friday 26 July 2013

Kedai emas dirompak, perniaga rugi RM500,000

Oleh FARABI SHEIKH SAID AL JABRI

SEREMBAN, JUMAAT, 26 Julai, 2013: Lima lelaki bersenjatakan pistol nekad melarikan tujuh dulang barangan kemas bernilai RM500,000 dalam rompakan di sebuah kedai emas yang terletak hanya kira-kira 200 meter dari Balai Polis Mantin dekat sini semalam.

Pemilik kedai emas itu yang enggan dikenali berkata, ketika kejadian pukul 1 petang itu, dia bersama tiga lagi pekerjanya berada di dalam premis berkenaan sebelum muncul kumpulan suspek memakai topi keledar dan bersenjatakan pistol.

Katanya, salah seorang suspek terus melepaskan satu das tembakan amaran sebelum yang lain memecahkan cermin pameran dengan tukul besi lalu mengisi barangan kemas di dalam sebuah beg.

"Dalam keadaan kelam kabut saya sempat mengambil sepucuk senapang patah milik saya di bawah meja dan terus melepaskan satu das tembakan ke arah suspek namun tersasar.

"Kerana terkejut dengan tindakan saya itu kesemua suspek terus melarikan diri dengan menaiki tiga buah motosikal yang diletakkan berhampiran kedai saya," katanya di sini hari ini.

Beliau menganggarkan kerugian hampir RM500,000 namun bersyukur kerana ketika kejadian tiada pelanggan di premisnya malah dirinya serta tiga lagi pekerja tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Saya sudah berniaga di sini hampir 20 tahun dan ini kali pertama kedai saya dirompak," ujar beliau.

Dalam pada itu, sumber polis memaklumkan, siasatan awal mendapati kemungkinan beberapa pucuk pistol yang digunakan suspek adalah tiruan.

"Kita menemukan sepucuk pistol tiruan tidak jauh dari premis berkenaan yang kemungkinan terjatuh ketika suspek tergesa-gesa melarikan diri.

"Buat masa ini kita akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis berkenaan untuk mengesan identiti suspek yang terlibat," jelasnya.

Ketua Polis Daerah Nilai, Supritendan Mohd. Yusoff Awang ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu agar menyalurkannya kepada pihak polis. - UTUSAN ONLINE 

No comments:

Post a Comment