My Add

Wednesday 10 July 2013

Kegiatan ah long terus dipantau - KPN

IPOH, SELASA, 09 Julai, 2013: Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus memantau kegiatan pemberi pinjaman wang tanpa lesen atau ah long yang sering menggunakan kekerasan untuk mendapatkan kembali wang pinjaman.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan menetapkan syarat tertentu bagi mengeluarkan lesen kepada pemberi pinjaman wang.

"Sekiranya pemberi pinjaman wang itu berlesen dan beroperasi mengikut syarat, tiada masalah. Kalau mereka tiada lesen, itu di bawah bidang kuasa kementerian, tetapi sekiranya mereka menyalahi undang-undang jenayah, polis akan mengambil tindakan," katanya kepada pemberita selepas majlis pemakaian sayap juruterbang dan pemerhati udara pasukan gerakan udara PDRM di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kegiatan ah long yang dilihat semakin berleluasa apabila menggunakan kekerasan sehingga menyebabkan kematian.

Baru-baru ini, seorang lelaki bertindak kejam membunuh isteri dan dua anaknya, termasuk yang berusia dua tahun, di sebuah banglo di Sibu, Sarawak kerana dipercayai tertekan dengan masalah hutang.

Sehubungan itu, PDRM akan mengambil langkah tertentu bagi mengelak kejadian sedemikian berulang, katanya.

Mengulas lanjut, Khalid berkata, polis kini menyiasat sama ada suspek bertindak demikian disebabkan tertekan kerana berhutang dengan ah long atau sebaliknya.

"Biarlah polis selesaikan kes ini untuk mencari punca sebenar kejadian berlaku," katanya.

Menyentuh persediaan menghadapi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Kuala Besut pada 24 Julai ini, Khalid berkata, PDRM akan menempatkan anggota secukupnya bagi mengawal keadaan sepanjang tempoh kempen dan hari pengundian.

"Polis bersiap sedia menghadapi pilihan raya. Sekiranya terdapat keperluan yang perlu ditambah, kita akan tambah," katanya.

Beliau mengingatkan calon parti yang bertanding agar mematuhi segala peraturan dan berkempen secara berhemah bagi memastikan pilihan raya berlangsung secara aman. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment