My Add

Wednesday 10 July 2013

Kehilangan cukup terasa sambut Ramadan

 Rosiah Dahlan

KUALA LUMPUR, SELASA, 09 Julai, 2013: - Ramadan pertama esok, genaplah 130 hari pemergian Allahyarham Asisten Komisioner Ibrahim Lebar, 52, yang terkorban dalam serangan pengganas Kiram di Semporna, Sabah.

Pemergian pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 2 Mac lalu itu cukup meninggalkan kesan mendalam kepada isteri dan tiga anaknya, apatah lagi dengan kehadiran Ramadan dan Aidilfitri nanti.

Hakikat tersebut diakui oleh isteri Allahyarham, Rosiah Dahlan, 52, yang telah 23 tahun mendirikan rumahtangga dengan Allahyarham.

Menurut Rosiah, kehadiran Ramadan kali ini disambut dengan perasaan hiba kerana pertama kali menjalani ibadah puasa tanpa suami tercinta.

"Suami adalah teman paling rapat, dialah tempat saya mencurahkan rasa gembira dan duka. Sejak kematian arwah, saya cuba memujuk hati untuk menerima apa yang berlaku sebagai suratan takdir dan ketentuan ilahi namun kehilangan arwah tetap terasa setiap hari," kata Rosiah dalam nada sebak ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Disebabkan masih bersedih dengan pemergian Ibrahim, Rosiah menolak permintaan wartawan untuk mengadakan temuramah bersama keluarga di kediamannya di USJ 9, Subang Jaya dekat sini.

Alasan Rosiah, beliau belum bersedia ditemuramah dan bimbang gagal menahan perasaan sedih apabila ditanya mengenai arwah.

Ditanya mengenai kenangan manis menyambut Ramadan dan Aidilfitri bersama arwah, Rosiah memberitahu, setiap tahun mereka meraikan hari lembaran di kampung kelahiran suaminya di Jerteh, Terengganu.

"Selama 23 tahun kami berkahwin, seingat saya hanya tiga kali kami menyambut Aidilfitri di Kuala Lumpur, kami sekeluarga begitu terasa kehilangan arwah pada Ramadan dan Syawal kali ini," katanya.

Menjelang sambutan Aidilfitri tahun ini, Rosiah mengambil keputusan untuk meraikannya di rumah sendiri di Subang Jaya kerana mahu menziarahi pusara suami yang terletak berhampiran kawasan kediaman mereka.

Dalam pada itu, Rosiah berkata, beliau tidak terlalu mengambil tahu tentang perkembangan kes perbicaraan pengganas Kiram dan menyerahkan kepada pihak berkuasa serta Allah untuk menentukan hukuman terhadap individu yang bertanggungjawab membunuh suaminya.

"Saya bukanlah seorang yang pendendam. Saya menerima hakikat bahawa sudah takdir arwah suami kembali kepada Ilahi pada usia 52 tahun," - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment