My Add

Thursday 18 July 2013

Kekalkan tiga prinsip utama Akta Hasutan 1948

KUALA LUMPUR, RABU, 17 Julai, 2013: Semua pihak termasuk pembangkang perlu menyokong cadangan kerajaan mengekalkan tiga prinsip utama Akta Hasutan 1948 dalam Akta Keharmonian Nasional yang diyakini mampu memperkukuh perpaduan serta keharmonian antara kaum.

Yang Dipertua Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia (PSSGM), Datuk Adiwijaya Abdullah berkata, usaha itu bagi memastikan undang-undang lebih tegas dirangka dalam menangani salah laku khususnya melibatkan perkara berkaitan agama Islam dan institusi di raja.

Katanya, selain undang-undang, penguatkuasaan juga perlu lebih proaktif supaya tidak ada pihak berani mempersoal atau mempersenda agama Islam dan Raja-raja Melayu.

"Saya berharap pembangkang bersetuju mengekalkan tiga prinsip utama Akta Hasutan dalam Akta Keharmonian Nasional itu ketika dibentangkan nanti tanpa sebarang pertikaian," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa rancangan menggantikan Akta Hasutan 1948 dengan Akta Keharmonian Nasional tidak akan menjejaskan kuasa kerajaan menangani perbuatan yang mengganggu gugat perpaduan nasional dan keharmonian masyarakat.

Menurut Najib, Akta Keharmonian Nasional akan mengekalkan tiga prinsip utama yang antaranya menangani perbuatan yang membawa permusuhan antara kaum, menghina Raja-raja Melayu atau mempersoal keistimewaan yang diperuntuk di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Pemikir Profesional Melayu Malaysia (PPPMM), Datuk Dr. Kamarudin Kachar berkata, pihaknya menyokong penuh Akta Keharmonian Nasional dalam menjaga perpaduan antara kaum.

Namun, beliau berharap, Akta Hasutan tidak dimansuhkan kerana masih sesuai digunakan bagi menangani perbuatan negatif pihak tertentu mencetuskan isu perkauman - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment