My Add

Monday 15 July 2013

Kempen tenang dalam semangat Ramadan

BESUT, AHAD, 14 Julai, 2013: Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut mengekalkan rekod bersih tanpa sebarang insiden yang tidak diingini selepas tiga hari tempoh berkempen secara rasmi berjalan.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Kamaruddin Mohd. Zakaria berkata, kempen kelihatan tenang dalam suasana semangat Ramadan namun pihaknya tetap tidak mengambil mudah aspek keselamatan sepanjang PRK itu berlangsung.

Beliau berkata, sehingga hari ini polis tidak menerima laporan berkaitan apa-apa insiden dan berharap semua yang terlibat dapat mengekalkannya sehingga 24 Julai ini.

"Semalam kita hanya menerima dua permohonan ceramah politik dan kedua-dua permohonan telah diluluskan serta diberikan permit.

"Penganjur mematuhi syarat yang ditetapkan dan tiada insiden tidak diingini berlaku, semoga keadaan tenang ini berterusan sehingga ke hari mengundi," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini, hari ini.

Kamaruddin turut mengingatkan orang ramai agar tidak mudah percaya dengan sebarang khabar angin yang tersebar sebaliknya merujuk kepada polis sekiranya mendapat maklumat yang meragukan.

"Saya juga ingin memaklumkan kepada orang ramai supaya jangan takut untuk keluar rumah dan menjalankan aktiviti harian anda seperti biasa," katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau aduan diminta supaya menghubungi bilik gerakan IPD Besut di talian 09-6950595. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment