My Add

Saturday 13 July 2013

Kerajaan akan guna Sistem Iris Koto jimat kos bina rumah murah

JERTIH, SABTU, 13 Julai, 2013: Kerajaan akan menggunakan Sistem Iris Koto untuk pembinaan program rumah murah di seluruh negara sekiranya terbukti berkesan sehingga dapat mengurangkan kos keseluruhan kira-kira RM40,000 bagi seunit kediaman.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan, berkata sistem berkenaan yang dihasilkan di Jepun itu akan digunakan sebagai permulaan untuk membina rumah mangsa kebakaran di negeri ini.

Abdul Rahman berkata, kos untuk membina seunit rumah murah ialah RM150,000 yang bergantung kepada lokasi dan sekiranya menggunakan Sistem Iris Koto, jumlah keseluruhan dapat dikurangkan kepada RM100,000 dan RM120,000.

"Sistem Iris Koto ini akan diperkenalkan kerana rangka binaan ringan dan dimasukkan polisterin serta kemudiannya dimasukkan simen ke dalamnya dan didapati cepat.

"Sistem ini pertama kali dikendalikan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat di Besut, kalau sesuai ia akan digunakan untuk program rumah murah di seluruh negara.

"Penjimatan daripada kos ini dapat digunakan untuk membina lebih banyak unit rumah murah. Walaupun kos bina rumah murah dengan sistem ini hanya mencecah antara RM60-000 dan RM70,000 tetapi selepas mengambilkira kemudahan prasarana, kos mungkin sampai RM100,000 dan RM110,000.

"Kalau ini dapat dicapai, ia dapat menjimatkkan kos keseluruhan pembinaan seunit rumah murah," katanya ketika ditemui media sempena lawatan ke rumah kebakaran di Perumahan PPRT, Taman Tasik, Kampung Nail, Kuala Besut, sebentar tadi. Hadir sama, calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman.

Beliau berkata, Kerajaan Barisan Nasional (BN) menjanjikan pembinaan 1 juta unit rumah di seluruh negara menerusi manisfesto ketika Pilihan Raya Umum
ke-13 (PRU-13) dan yakin dapat mencapai sasaran pembinaan 200,000 unit rumah setahun.

Sehubungan itu, pembinaan rumah milik mangsa kebakaran, Ramli Jusoh turut menggunakan Sistem Iris Koto dan dijangka siap pada 23 Julai ini.

Sementara itu, Abdul Rahman akan melawat Pulau Perhentian bagi meninjau perkhidmatan bomba dan penyelamat di pulau berkenaan.

Katanya, pihaknya akan membantu memperkasa sukarelawan bomba dengan menyediakan peralatan mencukupi termasuk bot. - BH

No comments:

Post a Comment