My Add

Monday 15 July 2013

Kerajaan pantau keadaan di Mesir

 * HISHAMMUDDIN Tun Hussein memakaikan pingat Jasa Malaysia kepada veteran tentera dalam Majlis Berbuka Puasa Bersama Tentera Darat di Dewan Kinabalu, Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu, Sabah, semalam.
KUALA LUMPUR, AHAD, 14 Julai, 2013: Kerajaan sedang bekerja rapat dengan pihak keselamatan di Mesir bagi memastikan rakyat negara ini khususnya para penuntut berada dalam keadaan selamat.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pegawai-pegawai Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Duta Malaysia di Mesir telah berjumpa dengan pihak keselamatan Mesir, National Security Of Egypt sebelum ini untuk mendapatkan bantuan dalam memberi perlindungan keselamatan kepada penuntut Malaysia.

Menurutnya, selaku menteri yang bertanggungjawab terhadap keselamatan rakyat Mesir di Malaysia, beliau sentiasa memantau keadaan di negara itu dengan kerjasama Jabatan Perdana Menteri, Wisma Putra, MKN, Kementerian Pendidikan, Kedutaan Malaysia di Mesir dan Kementerian Pertahanan termasuk mengendalikan urusan keluar jika perlu.

"Setakat ini, tiada kejadian tidak diingini berlaku ke atas rakyat Malaysia khususnya kepada pelajar-pelajar kita di sana.

"Ops Piramid telah dikendalikan MKN yang dipengerusikan sendiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 7 hingga 11 Julai lalu bagi memantau dan membuat persediaan perlu sekiranya keselamatan pelajar kita tergugat akibat pergolakan di negara berkenaan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Rampasan kuasa tentera awal bulan ini terhadap pemerintahan Presiden Mohammed Mursi yang dipilih secara sah rakyat menerusi pilihan raya kira-kira setahun lalu meletakkan negara itu dalam keadaan politik tidak menentu sehingga kini.

Menurut Hishammuddin, segala persediaan awal telah disusun dari penempatan penuntut di Kaherah, Tanta sehingga ke Iskandariah dan mereka akan dibawa keluar pada bila-bila masa sekiranya diperlukan.

"Setakat ini, pelajar-pelajar kita masih belum dibawa pulang memandangkan mereka sedang menghadapi peperiksaan sehingga 8 Ogos ini.

"Mereka terpaksa mengulangi pengajian setahun lagi dan menduduki peperiksaan semula tahun hadapan sekiranya dibawa balik ketika ini," ujarnya.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan sentiasa memantau keadaan keselamatan mereka di sana di samping mendapatkan bantuan pihak keselamatan Mesir bagi melindungi rakyat Malaysia khususnya para penuntut. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment