My Add

Friday 19 July 2013

Kerajaan, PBT ambil serius isu peniaga asing di tapak ekspo

PUTRAJAYA, KHAMIS, 18 Julai, 2013: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menyelaraskan pengeluaran permit perniagaan bagi menjaga kebajikan peniaga tempatan.

Menterinya, Datuk Hasan Malek berkata, menerusi penyelarasan itu beberapa prosedur dan garis panduan kelulusan penganjuran ekspo atau pesta jualan anjuran PBT akan ditambah baik.

Beliau berkata, penglibatan PBT penting kerana penganjuran sesuatu karnival terletak di bawah bidang kuasa mereka.

"Pada masa sama, kami juga akan berbincang dengan Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT), Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta PBT dari Kuala Lumpur, Ipoh, Johor Bharu, Kuantan dan Pulau Pinang bagi menambah baik prosedur itu.

"Antara cadangan yang bakal diambil ialah memastikan hanya peniaga tempatan sahaja dibenarkan mengambil bahagian dalam sesuatu ekspo perdagangan atau pesta jualan sebagai syarat kelulusan oleh PBT," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan kira-kira 280 peniaga tempatan India di Klang baru-baru ini yang menutup perniagaan mereka selama sehari sebagai membantah kebanjiran peniaga asing yang beroperasi secara tidak sah di karnival beli-belah sekitar bandar itu.

Kegiatan peniaga asing dari India, Bangladesh dan Pakistan yang menjual produk sama dengan peniaga tempatan bukan sahaja mendatangkan kerugian besar kepada mereka tetapi ada terpaksa gulung tikar dan hampir bankrap.

Menurut Hasan, pihaknya amat prihatin terhadap isu itu kerana sumbangan peniaga tempatan sangat besar dalam pembangunan ekonomi negara.

Sehubungan itu, katanya, kementeriannya bersama agensi kerajaan lain akan membantu semua peniaga tempatan bagi memastikan perniagaan mereka berkembang serta dapat menembusi pasaran antarabangsa. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment