My Add

Sunday 14 July 2013

Kerajaan perlu tegas, panggil Marino

KUALA LUMPUR, SABTU, 13 Julai, 2013: Kerajaan digesa mengambil tindakan tegas dengan memanggil Duta Vatican City ke Malaysia, Biskop Joseph Marino untuk 'disoal siasat' berhubung kenyataannya menyokong penggunaan kalimah Allah bagi penganut Kristian di negara ini.

Gesaan itu disuarakan Naib Presiden Pertubuhan Pribumi Malaysia (Perkasa), Datuk Zulkifli Noordin yang mahu Marino 'diajar' mengenai penetapan kerajaan termasuk Pas dalam isu kalimah Allah.

Malah, beliau turut mengingatkan Marino yang mungkin lupa mengenai undang-undang antarabangsa khususnya Konvensyen Vienna yang menegaskan wakil-wakil asing supaya bertanggungjawab untuk tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman sesebuah negara.

"Mengikut prosedur, kerajaan patut panggil dia (Marino) untuk minta penjelasan dan kalau dia masih berkeras dengan kenyataannya, kerajaan wajib isytihar duta itu sebagai 'persona non grata' serta dihalau keluar dari negara ini.

"Itu adalah standard yang diamalkan oleh mana-mana negara. Kita tak mahu sikapnya disalah tafsir apabila perjanjian antarabangsa (konvensyen) tak benarkan wakil luar campur tangan urusan dalaman sesebuah negara. Yang ini (kenyataan Marino) jelas menyebelahi kelompok tertentu,'' katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Marino menerusi wawancara pertamanya dengan sebuah portal berita kelmarin yang menyokong pendirian gereja Katholik berhubung isu penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian di negara ini.

Zulkifli berkata, peranan Marino di negara ini adalah sebagai wakil Vatican City dan sudah tentu tertakluk kepada protokol keistimewaan dan imuniti diplomatik.

"Maknanya dia tidak boleh mencampuri urusan dalaman negara ini. Dia juga patut tahu ketetapan kerajaan dalam isu kalimah Allah. Kalau dia tak tahu, dia tak layak jadi duta di negara ini,'' ujarnya.

Sementara itu, beliau memberitahu, Perkasa dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam lain akan menyediakan memorandum bagi membantah dan menyelar sikap Marino.

"Memorandum itu akan kita serahkan kepada kerajaan khususnya Wisma Putra,'' tambahnya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment