My Add

Wednesday 10 July 2013

Kerajaan tolak tubuh IPCMC

KUALA LUMPUR, SELASA, 09 Julai, 2013: Kerajaan menolak cadangan supaya Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) ditubuhkan kerana tidak selari dengan Perlembagaan Persekutuan dan bertentangan dengan konsep keadilan.

Selain itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, cadangan penubuhan IPCMC tersebut jika dilaksanakan akan menyebabkan pertindihan kuasa dan undang-undang di antara agensi penguat kuasa sedia ada.

“Kerajaan juga berpendapat jika badan baharu hendak dibentuk, bidang kuasanya tidak boleh terhad menyiasat polis sahaja tetapi mesti melibatkan semua agensi penguatkuasaan. Sebab itu kita wujudkan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP).

“Kita percaya SIAP berupaya memantau salah laku anggota penguat kuasa termasuk polis sebab itu saya menyeru semua pihak memberi masa kepada SIAP," katanya semasa menggulung perbahasan titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, beliau menafikan dakwaan pembangkang kononnya kementerian sengaja memanipulasi indeks jenayah kerana tegas beliau, data mengenai setiap statistik berhubung kadar penyelesaian jenayah terdapat dalam komputer.

Malah, jelas Ahmad Zahid, setiap pengadu yang membuat laporan polis kini boleh memantau perkembangan siasatan kes mereka dan beliau memberi jaminan bahawa semua laporan yang dibuat akan disiasat 100 peratus.

Bagaimanapun beliau mengakui bahawa kadar jenayah ketika ini meningkat secara mendadak dan keadaan itu katanya, mempunyai kaitan dengan penghapusan Ordinan Darurat.

“Penjenayah yang ditahan di bawah ordinan ini dulu adalah penjenayah berat serta berorganisasi. Mereka kini berada dalam masyarakat selepas Ordinan Darurat dihapuskan sebab itu semua pihak kena bersama dengan polis dalam hal ini," katanya.

Terdahulu, Ahmad Zahid bertikam lidah dengan Gobind Singh Deo (DAP-Puchong) menyebabkan sidang Dewan Rakyat tertangguh sehingga 30 minit selepas pemimpin DAP itu menuduh beliau tidak layak menjadi Menteri Dalam Negeri.

Gobind mendakwa pihak polis tidak menjalankan siasatan ke atas Ahmad Zahid berhubung satu laporan polis mengenai kejadian ugutan kekerasan hanya kerana kedudukannya sebagai Menteri Dalam Negeri.

Ahmad Zahid yang berang dengan tuduhan tersebut sebaliknya berkata, Gobind tidak layak membangkitkan isu terbabit di Dewan Rakyat kerana mempunyai kepentingan peribadi berikutan pemimpin DAP itu bertindak sebagai peguam bela dalam kes berkenaan.

“Kes itu bukan kes jenayah tetapi kes sivil. Untuk pengetahuan dewan yang mulia, Puchong ini ada kepentingan peribadi kerana menjadi peguam bela. Laporan polis tersebut dibuat pada 2006. Saya bukan Menteri Dalam Negeri (ketika itu).

“Siasatan sudah dijalankan ketika itu, kamu peguam bela, kamu ada kepentingan peribadi," tegas Ahmad Zahid. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment