My Add

Friday 19 July 2013

Kes culik ada kaitan tindakan pasangan kontroversi

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 18 Julai, 2013: Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail menjelaskan, pendakwaan terhadap Alvin Tan dan Vivian Lee dibuat lanjutan daripada kejadian seorang individu yang diculik dan dipukul oleh sekumpulan lelaki tidak dikenali dipercayai rentetan tindakan pasangan kontroversi itu.

Menurut beliau, memandangkan pasangan itu mempunyai kecenderungan memuat naik kandungan yang boleh membangkitkan kemarahan orang ramai, Jabatan Peguam Negara turut membuat permohonan supaya mereka tidak dilepaskan dengan sebarang jaminan sementara menunggu perbicaraan.

''Sehubungan itu, Jabatan Peguam Negara meminta semua pihak berhenti memberi sebarang kenyataan atau membuat sebarang spekulasi berhubung kes tersebut bagi mengelak sebarang perbicaraan melalui media,'' kata beliau dalam kenyataan akhbar yang dikeluarkan di sini hari ini.

Alvin atau nama penuhnya Tan Jye Yee, 25, dan Vivian atau nama penuhnya Lee May Ling, 24, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap tiga pertuduhan.

Mereka didakwa memuat naik gambar dengan komen Selamat Berbuka Puasa (dengan Bak Kut Teh...wangi, enak, menyelerakan!) mengandungi logo halal dalam laman Facebook mereka iaitu ''Alvin and Vivian-Alvivi'' di pautan https://www.facebook.com/alvivi.swingers.

Pasangan blogger itu turut didakwa memuat naik penerbitan yang sama di Syed Restoran, Jalan Dang Wangi di sini yang mana perbuatan itu berkemungkinan menyebabkan perasaan permusuhan atas alasan agama dalam kalangan penganut agama berlainan.

Bagi pertuduhan ketiga, mereka didakwa mempamerkan gambar yang didapati lucah di laman web www.alviviswingers.tumblr.com antara pukul 9 malam, 6 Julai dan 2 pagi, 7 Julai lalu.

Mereka tidak dibenarkan ikat jamin sementara menunggu perbicaraan. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment