My Add

Wednesday 17 July 2013

Kes khalwat Beego: Serbuan atas aduan pasangan lain

KUALA LUMPUR, SELASA, 16 Julai, 2013: Serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) terhadap sebuah rumah yang turut didiami pelakon dan bekas penyanyi kumpulan Phyne Ballerz, Beego, dua tahun lalu dibuat berikutan aduan orang awam terdapat satu pasangan lelaki dan perempuan bukan muhrim berkhalwat di dalam rumah itu.

Pegawai Penguat Kuasa Pejabat Agama Islam Daerah Gombak Timur JAIS, Muhammad Luqman Ramli berkata, aduan yang diterima itu menyebut lelaki berkenaan bernama Fikry Zainon manakala pasangannya pula bernama Hadijah.

Bagaimanapun, kata saksi pihak pendakwaan itu, semasa serbuan berkenaan, pihaknya mendapati terdapat tiga individu lain di dalam rumah tersebut iaitu Beego dan rakannya, Mohd. Arsli Meor Atan Ahmad dan Azlina Yazit @ Aziz.

Muhammad Luqman berkata demikian ketika disoal balas oleh peguam, Fakhrul Azman Abu Hassan dalam perbicaraan kes khalwat Beego dan dua rakannya di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, dekat sini hari ini.

Dalam pada itu, Muhammad Luqman bersetuju ketika disoal Fakhrul Azman bahawa aduan yang dibuat berhubung kes itu adalah palsu kerana terdapat perbezaan dalam aduan yang hanya menyebut satu pasangan berbanding fakta iaitu semasa serbuan terdapat tiga individu lain.

Saksi itu turut mengakui penyiasatan terhadap kes tersebut tidak lengkap kerana tidak melakukan pemeriksaan di salah sebuah bilik dan bilik air di dalam rumah berkenaan.

''Saya percaya tidak ada orang di dalam bilik berkenaan dan penghuni rumah itu turut memaklumkan tiada sesiapa di dalam bilik air,'' katanya.

Beego atau nama sebenarnya, Md. Aszerul Nizam Abdullah, 33, dan dua rakannya itu, Fikry dan Mohd. Arsli dibicarakan setelah mereka mengaku tidak bersalah atas tuduhan berkhalwat dengan dua kenalan wanita mereka, Hadijah Mohamad Mokhar dan Azlina di Oakleaf Kondominium, Bukit Antarabangsa, Ampang di sini pada pukul 6 pagi, 23 Februari 2011.

Azlina dan Hadijah yang berusia awal 30-an mengaku bersalah pada Mei tahun lalu atas tuduhan tersebut dan masing-masing membayar denda berjumlah RM3,000 setiap seorang.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 20(1)(a) bagi lelaki dan Seksyen 20(1)(b) bagi perempuan, Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 yang masing-masing memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM3,000 atau kedua-duanya.

Hakim Syarie, Shaiful Azli Jamaludin menetapkan perbicaraan kes itu bersambung 1 Oktober ini. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment