My Add

Sunday 28 July 2013

Kesal pilihan raya masjid Pulau Pinang tidak telus

BALIK PULAU, SABTU, 27 Julai, 2013: UMNO negeri kesal proses pilihan raya bagi memilih jawatan kuasa masjid yang sedang berlangsung tidak telus dan tidak mengikut prinsip demokrasi yang sering dilaung-laungkan oleh pembangkang.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman berkata, pihaknya menerima maklumat ada dalam kalangan calon yang kalah tetap dipilih memegang jawatan dalam jawatankuasa kariah masjid.

Sebaliknya jelas beliau, calon yang menang pula disingkir dan tidak mendapat tempat dalam jawatankuasa berkenaan.

"Kita memandang serius pekara ini kerana apabila mempraktikkan demokrasi, suara ramai sepatutnya menentukan keputusan," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan UMNO negeri di sini hari ini.

Utusan Malaysia pada 2011 mendedahkan keputusan kerajaan DAP Pulau Pinang untuk mengadakan pilihan raya bagi jawatankuasa masjid mulai 2012 dan perkembangan itu dilihat bakal menjerumuskan institusi masjid ke kancah politik kepartian.

Keputusan tersebut mencetuskan bantahan banyak pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam di negeri itu yang menyifatkannya agenda untuk melemahkan institusi masjid sebagai wadah perpaduan umat Islam.

Kerajaan negeri bagaimanapun mempertahankannya dengan alasan ia mengikut Seksyen 104(1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Pulau Pinang 2004 dan Seksyen 22(4) Enakmen Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP).

Sehubungan itu, Zainal Abidin mahu MAIPP mengambil tindakan segera bagi mengelak sebarang rasa tidak puas hati di kalangan kariah masjid.

"Apa yang penting pelaksanaannya mestilah telus," ujarnya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment