My Add

Thursday 11 July 2013

Keselamatan atlet bukan tanggungjawab UPM

 Mohd. Fauzi Ramlan
KUALA LUMPUR, RABU, 10 Julai, 2013: Peranan Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam Sukan Malaysia (Sukma) 2013 hanya membantu Jawatankuasa Keselamatan Sukma dalam memastikan keselamatan atlet di kawasan perkampungan di universiti berkenaan.

Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Mohd. Fauzi Ramlan berkata, tugas-tugas mengawal dan memantau keselamatan atlet sepenuhnya bukan di bawah tanggungjawab UPM.

"UPM telah menyerahkan tanggungjawab mengawal penginapan, lalu lintas dan kolej penginapan atlet kepada jawatankuasa tersebut. Pihak kami hanya menyediakan tempat penginapan dan mengawal di luar kolej penginapan atlet," katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Beliau mengulas tentang laporan akhbar tempatan Ahad lalu yang menggemparkan peminat sukan tanah air ekoran dakwaan pegawai tambahan kontinjen Wilayah Persekutuan dirogol pemain bola baling lelaki daripada kontinjen yang sama.

Atlet-atlet berkenaan juga dikatakan telah membawa masuk minuman keras ke perkampungan Sukma di UPM.

Tambah Mohd. Fauzi, meskipun peraturan universiti tidak membenarkan kemasukan barang larangan seperti arak, namun pihak keselamatan UPM tidak mempunyai bidang kuasa untuk melakukan pemeriksaan terhadap barangan dalam kenderaan atlet.

"Bahagian keselamatan hanya membenarkan kemasukan atlet dan pegawai yang mempunyai pas ke kolej penginapan," katanya.

Menurutnya, UPM walau bagaimanapun akan sentiasa bekerjasama dengan Majlis Sukan Negara dan pihak polis dalam membantu siasatan berhubung kes terbabit. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment