My Add

Wednesday 24 July 2013

Keselamatan pekerja terancam

KUALA LUMPUR, SELASA, 23 Julai, 2013: Keselamatan awam terancam apabila separuh daripada 63,179 pekerja sektor pembinaan di negara ini didapati tidak berkelayakan dari aspek keselamatan kerana tidak memiliki kad pendaftaran pekerja terlatih yang dikeluarkan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) atau dikenali sebagai kad hijau.

Sebanyak 49 peratus atau 31,141 pekerja sektor pembinaan itu tidak memiliki kad hijau dengan pemaju di negeri-negeri Pantai Timur dengan projek bernilai kurang daripada RM20 juta paling kurang mengamalkan aspek keselamatan di tapak pembinaan.

Pengurus Besar Kanan Sektor Pembangunan CIDB, Ir. Ahmad Asri Abdul Hamid berkata, perkara itu amat meresahkan memandangkan setiap pekerja perlu memiliki kad perakuan sebagai pengesahan mereka boleh bekerja di sektor pembinaan dan layak untuk melakukan kerja-kerja pembinaan berdasarkan bidang-bidang kepakaran seperti tertera pada kad berkenaan.

"Setiap pekerja perlu menghadiri kursus sehari berkaitan aspek keselamatan dan kesihatan seperti penggunaan topi dan kasut keselamatan untuk melayakkan mereka mendapat kad hijau selain diuji bagi mengenal pasti kebolehan dan kepakaran dalam sesuatu tugas.

"Saya kesal dengan sikap beberapa kontraktor yang enggan mematuhi syarat berkenaan walaupun menyedari bahaya menggaji pekerja yang tidak memiliki kad perakuan itu. Pemaju sepatutnya memastikan pekerja binaan memiliki kad tersebut bagi menjamin keselamatan di tapak-tapak pembinaan," katanya ketika ditemui di pejabatnya baru-baru ini.

Ahmad Asri menambah, dengan pembayaran sebanyak RM50 untuk memiliki kad tersebut, pelbagai kelebihan lain turut diterima oleh pekerja termasuk perlindungan insurans selama 24 jam walaupun berada di luar tapak pembinaan.

"Kami menyedari pembinaan merupakan sektor yang paling banyak mengambil pekerja asing berdasarkan nilai kos yang jauh lebih rendah. Pemilikan kad hijau merupakan inisiatif dalam mengurangkan kadar kemalangan di tapak pembinaan," jelasnya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment