My Add

Wednesday 10 July 2013

Khidmat PPC akan diperluas

Oleh HANIZA HASSAN
 
 * RAJA Zarith Sofiah beramah mesra dengan kanak-kanak yang ditempatkan di Unit Penjagaan Paliatif Pediatrik (PPC) sambil diperhatikan oleh Dr. S. Subramaniam pada majlis perasmian PPC Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru, semalam. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
JOHOR BAHRU, SELASA, 09 Julai, 2013: Kementerian Kesihatan bercadang memperluaskan perkhidmatan penjagaan pesakit kronik atau Unit Jagaan Paliatif Pediatrik (PPC) ke beberapa lokasi bagi memberi manfaat rawatan dan sokongan kepada kanak-kanak yang menghidap pelbagai penyakit kronik dan serius.

Menterinya, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, jumlah pusat yang dibuka bergantung kepada lokasi dan kos yang perlu dikeluarkan bagi mengubahsuai bilik serta peralatan sokongan serta keperluan mendesak untuk perkhidmatan itu.

Beliau berkata, sehingga kini hanya Hospital Sultan Ismail (HSI) yang menyediakan perkhidmatan PPC yang ditubuhkan Mac lalu dengan jumlah pesakit seramai 57 orang dan dikendalikan oleh seorang pakar serta beberapa jururawat.

"Kita dapat pertanyaan daripada pakar pediatrik lain mengenai PPC dan berharap dapat guna kaedah ini di tempat lain supaya boleh memberi rawatan yang lebih memuaskan terutama dalam mengurangkan tekanan bukan sahaja kepada pesakit, malah keluarga mereka.

"Kita kena bincang jika ingin buat penambahan lokasi kerana kita perlu lihat lokasi dan kos yang terlibat. Saya difahamkan sebuah PPC memerlukan kira-kira RM500,000 melibatkan kerja naik taraf, pengubahsuaian dan peralatan," katanya selepas majlis Perasmian Perkhidmatan PPC HSI, di sini hari ini.

Tuanku Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah berkenan mencemar duli merasmikan pusat itu. Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar, Datuk Ayub Rahmat dan Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Mohd. Khairi Yakub.

PPC adalah pusat pertama di Malaysia yang menyediakan rawatan penjagaan kesihatan menyeluruh dengan memberi perhatian kepada aspek fizikal, psikologi, sosial dan spiritual kepada pesakit.

PPC berbeza dengan wad biasa kerana menyediakan prasarana yang diperlukan pesakit kronik dan mereka boleh mendapatkan rawatan rapi dalam suasana mesra manakala keluarga juga boleh menjadi sebahagian daripada sistem rawatan untuk meringankan tekanan.

Sementara itu, Raja Zarith Sofiah bertitah, langkah Kementerian Kesihatan menubuhkan PPC amat dihargai kerana ia merupakan pendekatan bagi meningkatkan kualiti hidup kanak-kanak menghidap penyakit yang mengancam nyawa.

"Malah saya juga amat berdukacita melihat kesengsaraan dan kesakitan dialami kanak-kanak yang tiada harapan untuk sembuh dan keadaan kesihatan mereka yang semakin merosot," titah baginda. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment