My Add

Monday 15 July 2013

KM Marlin guna alat navigasi terkini

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR

 * ANGGOTA Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia mengambil juadah berbuka puasa di atas kapal KM Marlin di Lumut, Perak, kelmarin.
LUMUT, AHAD, 14 Julai, 2013: Kedatangan Ramadan tidak sesekali menjadi penghalang kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) untuk terus menjalankan operasi penguatkuasaan di zon maritim negara.

Biarpun berdepan cabaran air pasang dan laut bergelora, anggota Maritim Malaysia tetap cekal menjaga keselamatan perairan negara serta menjalankan sebarang operasi mencari dan menyelamat tanpa mengira masa.

Pegawai Memerintah KM Marlin, Leftenan Komander Maritim Mohamad Rosli Kassim berkata, sudah menjadi lumrah kepada anggota Maritim Malaysia untuk bertugas 24 jam sehari kerana tanggungjawab mempertahankan keselamatan negara harus diutamakan daripada sebarang bentuk pencerobohan.

"Pada bulan puasa ini, kita akan terus melakukan pengawasan di beberapa kawasan panas di persempadanan Malaysia dalam Daerah Maritim 3 terutama di Selat Dinding di pesisir Selat Melaka dan sempadan Pulau Langkawi.

"Maritim Malaysia akan mengekang sebarang usaha penyeludupan warga pendatang asing tanpa izin, barang-barang bersubsidi, mercun serta melakukan pemeriksaan ke atas bot-bot nelayan dalam menguatkuasakan undang-undang di laut," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas berbuka puasa dan bersolat tarawih bersama-sama warga KM Marlin di atas kapal berkenaan, di sini semalam.

Terdahulu, Maritim Malaysia melakukan operasi di sekitar perairan Pulau Pangkor dengan menggunakan bot pemintas laju bagi memeriksa beberapa bot nelayan dan kapal yang membawa muatan pasir.

KM Marlin yang diberi nama oleh isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dihadiahkan oleh kerajaan Jepun melalui Nippon Foundation pada 1 Jun 2006.

Kapal latihan yang kini ditempatkan di Lumut serta dilengkapi dengan peralatan komunikasi dan navigasi terkini itu boleh memuatkan sehingga 29 anak kapal termasuk empat anggota wanita.

Dalam pada itu, Mohamad Rosli berkata, biarpun terdapat tiga anak kapal KM Marlin yang tidak beragama Islam, mereka tetap bersama-sama 'berbuka puasa' dengan anggota Maritim Malaysia yang lain.

Beliau berkata, kemesraan antara mereka serta sikap profesional bekerja sebagai satu pasukan membuatkan anggota terlibat saling menghormati ibadah serta kepercayaan agama masing-masing.

Sementara itu, bagi Juragan KM Marlin, S. Pandein Shanmugam, 53, beliau tidak mengalami sebarang masalah untuk bertugas bersama anak-anak kapal yang lain termasuk ketika mengikuti pelayaran membuat operasi di laut selama seminggu.

"Ramai berpuasa di sini, jadi saya rasa tidak seronok sekiranya makan bersendirian," katanya.

Beliau bertugas selama tiga tahun di atas KM Marlin dan bertanggungjawab menyelia soal keselamatan serta perkara berkaitan makanan dan cuti anggota.

Anggota wanita yang bertugas sebagai Pegawai Tadbir KM Marlin, Leftenan Maritim Noor Faridah Mohamad, 27, pula mengakui cabaran bertugas di laut terutama baginya yang pertama kali mengikuti pelayaran di perairan negara.

"Waktu mula-mula bertugas dahulu, memang mabuk laut, apatah lagi saya juga terlibat sebagai pegawai geledah yang akan memeriksa kapal-kapal. Namun demi tugas, saya lakukan juga dengan sebaik-sebaiknya," katanya.N - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment